BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diarah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia bagi pinjaman beliau untuk membeli saham Guthrie pada tahun 2001 ketika beliau menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf yang membuat keputusan itu dalam kamar bagaimanapun membenarkan permohonan Khalid untuk menangguhkan pembayaran sementara menunggu permohonan rasmi pada 16 Sept.
Peguam Khalid Malik Imtiaz Sarwar memberitahu pemberita bahawa Rohana membenarkan permohonan Bank Islam untuk satu penghakiman terus mengenai alasan kes itu tidak perlu dibawa ke satu perbicaraan penuh kerana tidak ada isu triable.
Satu penghakiman terus merupakan satu keputusan akhir oleh seseorang hakim yang menyelesaikan satu tuntutan mahkamah untuk memihak kepada salah satu pihak berkenaan. Satu usul untuk penghakiman terus dibuat setelah penemuan siap tetapi sebelum kes itu dibawa ke perbicaraan penuh.
Malik Imtiaz berkata rayuan akan dibuat dengan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini kerana beliau berpendapat perkara itu hendaklah dibawa ke perbicaaraan penuh.
Katanya beliau akan memfailkan satu permohonan penangguhan keputusan awal minggu depan.
Mahkamah itu menetapkan 16 Sept untuk mendengar permohonan rasmi penangguhan keputusan dan sebutan saman Khalid terhadap Bank Islam.
Saman balas bank-Khalid pada 24 Mei, 2007, mendakwa bahawa Khalid telah melanggari kontraknya dalam perjanjian pinjaman Al Bai-Bithaman Ajil (BBA) dalam pembelian saham Guthrie.
Khalid memulakan satu saman terhadap bank itu pada 18 Mei 2007, memohon ganti rugi dan pengisytiharan bahawa ada kontrak kolateral antara beliau dan bank itu dengan perjanjian pinjaman bertarikh 30 April 2001.
Beliau juga mahu satu pengisytiharan bahawa kemudahan BBA dalam isolasi dan tanpa kontrak kolateral adalah tidak sah dan terbatal dan Bank Islam telah melanggari kontrak kolateral dan kemudahan BBA.
Khalid tidak hadir di mahkamah sementara Bank Islam diwakili oleh peguam kanan Tommy Thomas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan