Jumaat, 28 Ogos 2009

Pemuda MIC demonstrasi jika UM kekal mahu tukar nama Jabatan Pengajian India

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda MIC bercadang untuk mengadakan demonstrasi secara besar-besaran sekiranya Universiti Malaya (UM) meneruskan hasrat mereka untuk menukar nama Jabatan Pengajian India universiti itu kepada Jabatan Pengajian India dan Asia Selatan.

Setiausahanya, C. Shivarraaj berkata, beliau berharap Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Ghauth Jasmon mempertimbangkan permohonan mereka yang meminta nama jabatan itu dikekalkan.

Memorandum bantahan yang diserahkan kepada Ghauth hari ini.

"Kalau permohonan kami ini tidak diberi perhatian sepenuhnya, kita akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran di hadapan kampus UM secara aman untuk menunjukkan kepada UM dan Kementerian Pengajian Tinggi bahawa kita serius dalam perkara ini.

"Kalau ada modifikasi yang perlu dibuat, kita rela kerana itu kuasa autonomi akademik beliau (Ghauth) untuk memperbetulkan apa yang salah.

"Kalau ada kelemahan, betulkan tapi janganlah sampai ubah terus... tukar identiti jabatan tersebut.

"Ini bukan penyelesaian yang begitu baik kerana Barisan Nasional (BN) sedang bertungkus lumus untuk menyatupadukan semua kaum di negara ini di bawah satu payung melalui konsep 1Malaysia," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor, Mohamad Apandi Khalid yang mewakili Ghauth.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengatakan nama Jabatan Pengajian India akan ditukar kepada Jabatan Pengajian India dan Asia Selatan.

Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan rasa kecewa dan marah di kalangan kaum India kerana jabatan tersebut dianggap sebagai lambang kebudayaan dan bahasa masyarakat India di negara ini.

Shivarraaj berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa kertas cadangan untuk menukar nama jabatan itu telah diusulkan kepada senat.

Justeru beliau mahu keputusan segera diambil berhubung perkara itu.

Shivarraaj berkata, pihaknya turut menuntut supaya jabatan itu diterajui oleh tokoh akademik India kerana hanya kaum India sahaja yang lebih memahami kebudayaan dan bahasa mereka.

Katanya, pihaknya juga sedia untuk duduk berbincang dan memberi kerjasama kepada UM sekiranya diperlukan.

"Kita boleh duduk bersama sebagai bekas pelajar dan NGO untuk membantu memperbetulkan apa yang tidak betul, bukan dari segi akademik tetapi dari aspek pelaksanaan jabatan.

Tiada ulasan: