Isnin, 31 Ogos 2009

Polis siasat perhimpunan penduduk seksyen 23

Oleh Wan Jailani Razak dan Rafidah Mat Ruzki


SHAH ALAM: Polis sehingga kini mengambil keterangan daripada 52 orang mengenai tindakan sekumpulan penduduk membawa lambang berkaitan agama ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jumaat lalu, sebagai simbolik bantahan pembinaan kuil di Seksyen 23, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata ketika ini, polis masih dalam proses mengumpulkan laporan membabitkan kejadian yang mencetuskan kemarahan penganut Hindu itu.

"Kami akan menemubual saksi dan mereka yang terbabit dalam kejadian Jumaat lalu akan dikenal pasti tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Jumaat lalu, kira-kira 200 penduduk dari Seksyen 23 di sini, berkumpul di pintu masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran Kerajaan Selangor dengan membawa lambang berkaitan agama.

Perarakan sejauh kira-kira 500 meter yang bermula selepas solat Jumaat di Masjid Negeri itu turut disertai beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka turut membawa sepanduk, antaranya berbunyi `Islam untuk semua, kuil untuk Roziah dan Khalid dan pindahkan kuil ke Seksyen 22'.

Mengulas perkara sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata isu berkenaan timbul berikutan kegagalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mendapatkan pandangan penduduk setempat.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat, berkata sebagai kerajaan negeri yang sebelum ini bangga dengan slogan kerajaan berkebajikan, pemimpinnya sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan penduduk terbabit.

"Apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan negeri membuat keputusan tanpa perbincangan dengan penduduk mengenai pelbagai aspek seperti keselamatan dan kehendak masyarakat.

"Kita hormat agama lain tetapi sensitiviti agama juga perlu diambil kira," katanya sambil menambah Jawatankuasa Khas Rumah Ibadat Selain Islam Negeri Selangor sepatutnya tidak dipengerusikan oleh orang politik bagi mengelak keputusan diambil mengikut selera sendiri.

Beliau berkata, ketika Selangor diperintah Barisan Nasional (BN), jawatankuasa sama dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil dari semua kaum.

Katanya, sesuatu perkara hanya akan dibawa ke mesyuarat Exco selepas keputusan dibuat jawatankuasa berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr A Xavier Jayakumar, sebelum ini berkata, keputusan membina kuil di Seksyen 23 dibuat secara muafakat dalam satu kumpulan pembuat dasar dan bukan seorang individu saja seperti dilaporkan.

Beliau menjelaskan jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama tiga ahli Exco kerajaan negeri dan bukan beliau seorang.

Katanya, jawatankuasa berkenaan juga dianggotai wakil dari Pejabat Tanah dan Daerah, pihak berkuasa tempatan, Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau pemilik hartanah, NGO serta jawatankuasa kuil atau rumah ibadat berkenaan.

Tiada ulasan: