Jumaat, 28 Ogos 2009

Lydiawati gagal fail tuntutan RM103,000

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Pelakon, Lydiawati akan memfailkan tuntutan nafkah edah, mutaah, tunggakan nafkah serta pemulangan semula barang perkakas perkahwinan bernilai RM103,000 di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini daripada bekas suaminya selepas beliau gagal membayar tuntutan itu sehingga kini.

Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Zaimon, 43, mengambil tindakan berkenaan selepas bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35, gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu yang mengarahkannya membayar tuntutan itu.

Bagaimanapun, tuntutan itu tidak dapat difailkan semalam selepas Lydiawati gagal hadir ke mahkamah walaupun peguam syarie yang mewakilinya, Norazmi Mohd Arif hadir membawa penyata tuntutan berkenaan.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat memerintahkan supaya Azhar memulangkan semula semua barang perkakas perkahwinan bernilai RM67,000 serta membayar nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah berjumlah RM36,000.

Hakim Syarie Muhamad Fauzi Ismail membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan Azhar untuk bercerai secara baik dengan Lydiawati.

Perintah bayaran sejumlah RM103,000 yang perlu dibuat Azhar itu adalah perjanjian bersama pasangan itu.

Terdahulu, Norazmi ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, beliau kini hanya menunggu kehadiran pelakon utama filem Suami, Isteri dan ..... itu ke mahkamah kerana Lydiawati perlu menandatangani sendiri penyata tuntutan itu di hadapan Pendaftar Mahkamah.

Tiada ulasan: