SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Isu kekurangan gula masih lagi menjadi tanda tanya kerana bekalannya masih lagi berada di tahap yang sama walaupun pelbagai inisiatif daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diambil untuk mengatasi kemelut ini.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Shah Alam mendapati rata-rata pengguna kecewa kerana keadaan itu menjejaskan perniagaan dan rutin harian yang biasa dilakukan mereka.
Shamgani Dawood, 29, pembantu kedai berkata, stok gula untuk jangka masa dua minggu lalu memang sukar untuk didapati kerana pemborong hanya menghantar 30 kilogram setiap kali penghantaran.
“Memandangkan gula adalah satu keperluan asas kepada pengguna jumlah tersebut tidak mencukupi kerana hanya sebahagian sahaja yang dapat membelinya.
“Gula yang dihantar ke kedai terpaksa dihadkan kepada dua kilogram seorang untuk memastikan pembeli yang datang dapat membeli kerana ada juga penduduk luar daerah ini mencari gula di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Musa Mamat, 45, pemilik kedai runcit di Seksyen 7 berkata, walaupun kerajaan cuba mengatasi masalah bekalan gula dan mengekalkan harga gula pada harga biasa namun masalah ini masih lagi belum selesai.
“Walaupun pembeli yang datang kebanyakan peniaga dia terpaksa mengehadkan pembelian gula antara dua hingga tiga kilogram dan ada yang sanggup merayu-rayu untuk membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Bagi penyelia restoran, Ali Akbar Mohamad, 35, akibat kesukaran untuk mendapatkan gula di kedainya, dia terpaksa mengurangkan penjualan air yang menggunakan gula dan melebihkan penjualan air menggunakan susu.
“Sebelum ini kita ada pembekal yang menghantar gula secara terus ke kedai tetapi sejak kebelakangan ini dua atau tiga hari sekali datang hantar dan hanya 10 kilo setiap kali penghantaran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan