Sabtu, 29 Ogos 2009

Pegawai Daerah bakal jadi saksi Selcat

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan Pendengaran Awam Kedua pada 8 hingga 11 dan 15 September 2009, jam 10 pagi hingga 4 petang, di Dewan Annex, Shah Alam berhubung dengan isu peruntukan kawasan Dewan Negeri Selangor (DUN).

Menurut kenyataan daripada Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor, Pendengaran Awam yang dipengerusikan Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim ini bertujuan untuk menyiasat sama ada wujud penyelewengan atau pembaziran dalam peruntukan kawasan Ahli Dewan Negeri (ADUN) bagi tahun 2008 dan Jan–Jun tahun 2009.

“Pegawai Daerah akan dipanggil sebagai saksi dalam Pendengaran Awam kali ini untuk memberi keterangan berhubung dengan kes di mana peruntukan kawasan tahunan ADUN Barisan Nasional habis dibelanjakan dalam tempoh tiga bulan pertama sebelum Pilihan raya Umum tahun lalu.

“Antaranya terdapat 203 permohonan peruntukan kawasan diluluskan dalam satu hari, dan peruntukan kawasan tetap diluluskan walaupun setelah Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008,” kata kenyataan itu

Selain Pegawai Daerah, dijangka dua ADUN Pakatan Rakyat juga akan dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan dengan isu peruntukan kawasan.

Sebelum ini, sesi pendengaran awam kali pertama diadakan pada pertengahan Mac lalu yang melibatkan isu penggunaan wang penajaan Balkis oleh tiga anak syarikat kerajaan negeri serta syarikat swasta bernilai jutaan ringgit dan kedudukan terkini Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Bekas Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik antara 11 saksi utama yang akan dipanggil pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bermula Isnin ini.

Turut dipanggil sebagai saksi pada sesi pendengaran awam yang berlangsung di bilik gerakan Bangunan Annex ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sesi pendengaran awam itu yang diadakan secara formal, terbuka kepada media dan orang awam serta mungkin disiar secara langsung melalui laman web kerajaan negeri jika tidak berhadapan dengan masalah teknikal.

Dalam pada itu, pada Sidang Dewan Negeri (DUN) yang lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo serta empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.

Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang digantung setahun manakala empat yang lain dikenakan hukuman selama enam bulan.

Empat ADUN BN yang digantung ialah Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil).

Berikutan itu, kesemua kemudahan, elaun dan hal-hal berkaitan bagi kelima-lima wakil rakyat itu dihentikan sepanjang penggantungan tersebut.

Mohamad Khir digantung kerana dikatakan menghina DUN ekoran tidak hadir dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan mengkritik jawatankuasa itu.

Empat lagi ADUN tersebut diambil tindakan penggantungan itu kerana mengkritik Selcat menerusi media.

Tiada ulasan: