Khamis, 27 Ogos 2009

"Serangan hendap":Ong perang habis-habisan

Lim Hong Siang


Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek melakar sejarah partinya buat kali kedua, apabila menjadi "orang nombor dua" pertama yang dipecat dari MCA. Sebelum ini, Chua menjadi pemimpin MCA pertama yang meletak jawatan kerana skandal seks.

Dengan kata lain, "dvd seks" yang sama telah menjatuhkan Chua sebanyak dua kali, walaupun Chua cuba bangkit semula dengan sokongan perwakilan MCA dalam pemilihan parti tahun 2008. Chua yang diterima pencalonannya ketika itu, muncul sebagai Timbalan Presiden dengan 47% jumlah undi dalam perang empat penjuru.

Sememangnya, Chua Soi Lek, malah penyokongnya tidak akan mengakur kepada keputusan Majlis Presiden MCA semalam yang menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin MCA, agar keahlian Chua dilucutkan. Maka, perang secara terbuka dalam MCA dijangka bermula, setelah tirai dibuka.

Ong sedia berperang habis-habisan

Sebelum ini, Presiden MCA, Ong Tee Keat yang mendakwa dirinya menghadapi "serangan hendap dari 10 arah", telah meramalkan dirinya bakal digulingkan pada September tahun ini. Belumpun ramalan tersebut menjadi kenyataan, timbalannya telah ditolak ke dalam kubur politik.

Sebenarnya, tindakan drastik Ong semalam harus dibaca sebagai strateginya untuk memerangi musuh politiknya. Ong yang diasak bertubi-tubi oleh Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Tiong King Sing sejak kebelakangan ini, mengambil keputusan untuk membuat laporan terhadap Tiong di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, melalui Pengerusi Pelabuhan Klang, Lee Hwa Beng.

Kemudian, Majlis Presiden yang dipengerusikan Ong Tee Keat, membuat keputusan yang dilihat sebagai "provokasi" pada sebelah malam, iaitu memecat Timbalan Presiden yang telah dilantik oleh Pengerusi Barisan Nasional, Najib Abdul Razak sebagai Ketua Penyelaras BN.

Jelas, gerak-geri yang tidak mendapat restu secara terbuka dari UMNO ini, selaras dengan apa yang dikatakan Presiden MCA itu sendiri, "All out (perang habis-habisan)!"

Pencaturan Ong

Mustahil seandainya dikatakan bahawa Ong tidak menyedari kesan yang bakal diundang setelah memecat Chua. Namun, Ong mungkin merasakan dirinya terpaksa berbuat demikian, kerana sekiranya beliau kekal dengan kedudukannya yang pasif, maka beliau tetap akan digulingkan.

Dalam perhitungan Ong (gambar kanan, tengah), kemungkinan dirinya dilucutkan jawatan Menteri adalah lebih rendah, berbanding dengan "digulingkan" melalui saluran parti. Ong yang mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan sejak Mac 2008, dipercayai tidak terlibat dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Lebih-lebih lagi, seandainya beliau dirombak jawatannya, maka akan dilihat sebagai "balasan" kepada sebarang usaha untuk mendedahkan skandal dan membanteras rasuah dalam BN.

Oleh itu, kemungkinan untuk menggulingkan Ong melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) adalah lebih besar. Untuk menghilangkan kebimbangan ini, jalan paling singkat adalah menghapuskan "musuh dalam selimut" yang berupaya untuk berbuat demikian. Maka, sama ada Tiong mahupun UMNO yang mahukan Ong digulingkan, kehilangan senjata setelah Chua ditendang keluar.

Dalam pertimbangan Ong, yang sentiasa melihat dirinya lebih "suci" dan tinggi nilai moralnya daripada yang lain, tiada sebab untuk perwakilan menyokong Chua Soi Lek yang tercalar imej moralnya.

"Mustahil EGM dipanggil, semata-mata untuk menyokong seorang bintang filem lucah!" Demikianlah sinisnya penyokong Ong terhadap ahli yang bersimpati terhadap Chua. Malah, mungkin Ong juga menjangkakan bahawa UMNO sebagai parti Melayu-Islam, keberatan untuk menunjukkan sokongan secara terbuka kepada Chua yang melakukan seks oral, "perilaku seks yang melanggar alam semulajadi", kononnya.

Mampukah Ong bertahan?

Namun demikian, perhitungan sedemikian tidak semestinya tepat. Chua sememangnya bukan politikus sembarangan, tidak mungkin tunduk kepada Ong begitu sahaja. Beliau masih sempat berjenaka dengan wartawan, dengan mimik muka menangis, dan mencekik dirinya di depan kamera, semalam.

Beliau menyelit maksud tersirat dalam ayatnya yang berbunyi, "Untuk saya, kerja saya baru bermula setelah dipecat."

Chua (gambar kanan) yang dilihat sealiran dengan bekas Presiden MCA, Ling Liong Sik, terkenal dengan "orang kuat" di kubu MCA, Johor. Beliau berjaya meraih simpati, malah pujian apabila tampil mengaku bahawa dirinya watak utama dalam video seks yang terdedah pada akhir tahun 2007. Malah, setelah kembali semula ke teras kuasa MCA, beliau lebih menonjol sebagai mangsa politik kerana tidak diberi ruang oleh "bos"-nya, Ong Tee Keat.

Jelas, pergelutan antara Ong dengan Chua tiada kena-mengena dengan pertembungan ideologi. Namun, kelebihan memihak kepada Chua yang bukan pengemudi parti. Malah, Chua dipercayai meluahkan suara hati ahlinya, apabila mendakwa tiada halatuju yang jelas dalam tempoh 10 bulan selepas pemilihan parti tahun 2008.

Chua sempat untuk menyindir slogan "Tiga Lawan" oleh Ong ketika menyambut ulangtahun MCA ke-60 tahun ini, yang berbunyi "Lawan untuk ekonomi! Lawan untuk politik! Lawan untuk keharmonian kaum!", apabila mengubahsuainya menjadi "Lawan Chua Soi Lek!"

Lebih-lebih lagi, kegagalan MCA untuk mengaut undi Cina dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir baru-baru ini, menunjukkan bahawa MCA belum terkeluar dari "kemelesetan". Senario sedemikian memberi alasan yang cukup kuat untuk memanggil agar EGM diadakan.

"Kami perlu menamatkan pemerintahan diktator Ong Tee Keat," kata penyokong Chua, menyahut laungan Chua yang berbunyi "Jangan biar parti ini dimusnahkan oleh seseorang!"

Pertembungan terbuka bakal bermula. Sekiranya Ong benar menghadapi "serangan hendap", beliau kini masuk gelanggang dengan bom terikat pada badannya.

Tiada ulasan: