Sabtu, 29 Ogos 2009

67 rangka motosikal curi ditemui dalam Tasik Biru

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


SUNGAI BULOH: Polis menemui semula 67 rangka motosikal dipercayai dicuri oleh Geng Kamikaze sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak dua tahun lalu yang dibuang ke dalam Tasik Biru, Kundang, dekat sini, semalam.

Kegiatan itu terbongkar selepas dua ahli kumpulan berusia 20-an ditahan dalam keadaan mencurigakan pada malam Isnin lalu di Damansara dan seorang lagi dua hari kemudian di Gombak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kumpulan itu menjalankan kegiatan sejak dua tahun lalu dengan menjadikan motosikal tanpa kunci tambahan sebagai sasaran.

“Mereka bertindak dengan memecahkan tempat kunci motosikal, melapah dan mengasingkan alat ganti motosikal di bengkel dan kawasan tertentu sebelum menjual kepada samseng jalanan.

“Kumpulan ini juga mempunyai kemahiran menghidupkan enjin motosikal dengan hanya menggunakan kunci L,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Suspek direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Arjunaidi berkata, sejak kelmarin, pasukan penyelam dari IPD Petaling Jaya bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman menjalankan kegiatan mencari rangka motosikal itu.

“Selama dua hari pasukan penyelam menjalankan operasi mencari rangka motosikal di dalam tasik ini dan berhenti petang semalam, selepas menjumpai 67 rangka motosikal,” katanya.

Semua rangka motosikal yang sudah berlumut dan berkarat itu dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Pihak polis kini giat menjejak saki baki ahli kumpulan berkenaan dan difahamkan, kumpulan itu menjalankan kegiatan membuang rangka motosikal itu pada lewat malam bagi mengelak daripada dikesan.

Tiada ulasan: