Jumaat, 28 Ogos 2009

Batang Kali dilanda banjir kilat

BERNAMA


Beberapa buah kampung dan taman perumahan di Batang Kali, Hulu Selangor dilanda banjir kilat menyebabkan beberapa keluarga
terpaksa berpindah ke rumah saudara-mara apabila rumah mereka dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata 250 orang terlibat dalam banjir kilat itu, membabitkan 70 keluarga yang menetap di Kampung Genting Malik, Kampung Sentosa, Taman Sekolah dan Taman Seri Cahaya.

"Hujan lebat sejak tengah hari tadi menyebabkan air naik kira-kira 0.5 meter sekitar 8.20 malam ini. Air lambat surut berikutan hujan yang berterusan sehingga pukul 10.30 malam.

"Jalan utama di Kilometer 48 hanya dibuka satu laluan dan setakat ini keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Norel Azmi berkata 15 anggota keselamatan termasuk anggota polis trafik, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Batang Kali, terlibat dalam mengawal keadaan.

Sementara itu, ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim berkata pusat pemindahan sementara disediakan di Dewan Datuk Abdul
Hamid namun semua mangsa banjir membuat keputusan untuk berpindah ke rumah sanak saudara mereka.

Mohd Isa yang meninjau keadaan banjir itu menasihati penduduk supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membuat tinjauan ke kawasan itu dan bersedia menghulurkan bantuan segera untuk mangsa-mangsa banjir," katanya.

Tiada ulasan: