Ahad, 19 Julai 2009

Dakwa diugut semasa soal siasat pegawai SPRM

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah akan memfailkan saman kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia berikutan ugutan yang diterimanya ketika disoal siasat oleh pegawai SPRM, 15 Julai lalu.

Peguamnya, N Surendran berkata, keputusan itu diambil berikutan tindakan pegawai SPRM yang menyoal siasat anak guamnya dengan cara ugutan dianggap sebagai tidak wajar.

“Mereka (pegawai SPRM) bukan sahaja mengugut akan melakukan sesuatu terhadap anak guam saya jika dia memberitahu sesiapa tentang apa yang dilakukan mereka ke atasnya tetapi turut mengancam keselamatan keluarga, anak dan isterinya sekiranya dia tidak bercakap benar,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas anak guamnya, Tan Boon Wah membuat laporan polis, semalam.

Menurutnya, mereka kini sedang menyediakan beberapa dokumen dan setelah memperoleh butir-butir yang mencukupi, perkara itu akan dibawa ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat untuk difailkan.

Boon Wah antara yang disiasat bersama Setiausaha Politik Exco Selangor, Teo Beng Hock oleh SPRM sebelum dia ditemui mati di pekarangan pejabat SPRM Selangor dekat sini, Khamis lalu.

Sementara itu, Boon Wah ketika ditemui berkata, laporan polis terhadap SPRM adalah berhubung ugutan yang diterimanya ketika dia ditahan dan disoal siasat oleh badan terbabit pada 15 Julai lalu.:

“Sewaktu soal siasat, saya diarahkan untuk berdiri selama empat jam selain diherdik termasuk diugut supaya bercakap benar dan merahsiakan apa yang mereka lakukan terhadap saya jika tidak mahu keselamatan saya termasuk keluarga terancam,” katanya.

Tiada ulasan: