Khamis, 30 Julai 2009

100 rumah rosak dipukul ribut


Pelajar Amirul Abu Kassim menjemur buku sekolah yang basah selepas bumbung rumahnya musnah dihempap pokok pada kejadian ribut di Kampung Buloh Poh, Melor, Kota Bharu, semalam. - utusan/Hafiz Johari


UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU - Hampir 100 buah rumah, melibatkan lebih 200 keluarga di empat kampung di Melor, dekat sini, musnah akibat dipukul ribut petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 petang itu mengakibatkan sebahagian besar bumbung dan siling rumah-rumah terbabit diterbangkan angin.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Lanchang, Kampung Buloh Poh, Kampung Padang Tok Mat dan Kampung Durian Pahit.

Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan meskipun ketika kejadian tersebut kebanyakan penghuni berada dalam rumah masing-masing.

Mangsa, Ranani Ismail, 47, berkata, dia baru selesai menunaikan solat asar dan suaminya di ruang dapur manakala tiga anak mereka dalam bilik.

"Secara tiba-tiba angin kencang melanda, saya dengar ranting kayu jatuh di atas bumbung dan nampak pokok kelapa bergoyang dipukul ribut.

"Saya yang bimbang keadaan itu, menjerit semua ahli keluarga lari keluar rumah menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, selang beberapa ketika, sebatang pokok durian di belakang rumahnya tumbang.

Katanya, hujan lebat kemudian menyebabkan semua perabot dan peralatan rumahnya basah dan rosak.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad yang melawat tempat kejadian menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk terlibat.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada masa ini sedang mentaksir jumlah kerugian dan akan menyalurkan bantuan mengikut kerosakan dialami,'' katanya.

Tiada ulasan: