Selasa, 28 Julai 2009

Tahap kesedaran terhadap undang-undang pekerjaan masih rendah di negara ini

Mohd Sabri Said


KEPALA BATAS - Kurangnya kesedaran di kalangan rakyat tentang undang-undang pekerjaan di negara ini mendorong pihak majikan melakukan apa sahaja tindakan termasuk membuang pekerja sesuka hati kata, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mahamud.

Baginya, seseorang pekerja sebelum membuat pilihan sepatutnya terlebih dahulu mengetahui undang-undang serta apa kelebihan yang diperolehi dalam pekerjaan itu.

Ramai katanya, terlupa bila diri ditawarkan pekerjaan tidak kira dalam sektor mana sekalipun kerana yang penting ialah kefahaman melaksanakan pekerjaan sebagai keperluan diri, keluarga, masyarakat, pemimpin perseorangan atau negara.

"Lazimnya di Malaysia kesedaran masyarakat tentang kebajikan pekerjaan masih rendah sehingga pihak majikan melaksanakan berbagai cara untuk membuang pekerja tanpa melalui proses yang dikehendaki oleh lunas undang-undang," tambahnya ketika berucap dalam Wacana Kebangsaan Kali Ke-4 sempena Perhimpunan Pekerja yang diadakan di Dewan Komplek Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam, Kepala Batas semalam.

Memandangkan isu ini masih dipandang remeh oleh sebahagian besar pekerja maka nasib dan maruah mereka tidak terbela tambahan lagi negara yang mementingkan keuntungan semata-mata.

Satu lagi yang menjadi kegusaran MTUC sehingga hari ini ialah majikan memberikan gaji yang begitu rendah serta tidak langsung memikirkan untuk menubuhkan kesatuan di kalangan pekerja untuk pembelaan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan di era kemelesetan ekonomi global.

Di sektor industri dan pembuatan lazimnya peristiwa itu berlaku yang menyebabkan kehilangan fokus dalam kehidupan bahkan ada yang berpisah kerana tidak tahan dengan konflik kewangan, kegawatan diri, kemurungan serta membawa kepada permasalahan sosial yang teruk.

"MTUC bukan boleh tolong semua tetapi kami akan berusaha sedaya mungkin untuk membantu. Sebelum terjadi sepatutnya pekerja sendiri tahu tanggungjawab dengan menubuhkan Kesatuan Sekerja untuk membela nasib mereka jika berlaku pembuangan pekerjaan atau pembayaran gaji yang tidak setimpal," jelasnya dalam program bertema 'Selamatkan Pekerja Di Era Kemelesetan Ekonomi' anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pekerja PAS Pulau Pinang, Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kepala Batas serta Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB).

Justeru, untuk mengelak daripada terus ditindas maka pekerja di semua sektor wajar memahami tanggungjawab di samping kebajikan yang seharusnya didapati sebagai pekerja.

Tambahan lagi, soal berkesatuan memang menjadi masalah terutamanya orang Melayu kemungkinan tidak mendapat pendedahan luas tentang tanggungjawab yang perlu di ketahui.

Ramai yang beranggapan seseorang yang bekerja di bidang industri sahaja merupakan pekerja dan patut hadiri perhimpunan pekerja walhal pengertian pekerja lebih menjangkau daripada itu di mana setiap orang yang bekerja di bawah majikan dianggap pekerja.

"Majikan yang baik ialah mereka yang menjagai pekerjanya dengan sempurna dari masa ke masa dan inilah budaya yang baik perlu ada pada jiwa seorang majikan," katanya mengharap satu perubahan besar dilakukan oleh kepimpinan negara agar pekerja tidak dianaktirikan dalam apa hal sekalipun.

Program Perhimpunan Pekerja 2009 itu turut diserikan dengan ceramah umum pada sebelah malam di Komplek Sukan MPSP dengan barisan ahli panel terdiri daripada Presiden PAS, Dato' Seri Abdu Hadi Awang, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Menteri 2, Profesor P. Ramasamy dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf. - mns_

Tiada ulasan: