Oleh ZIEMAN
PETALING JAYA: Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai ISA.
Ini adalah kerana, menurut beliau, isu ini telah berulang kali diminta oleh Umat Islam agar dilihat di sudut agama.
"Namun fatwa itu hendaklah adil, bebas dari keterikatan dengan mana-mana pihak, dibahaskan secara saksama dengan kehadiran pakar perundangan, pihak berkuasa dan mangsa.
"Juga ahli-ahli politik yang bersetuju dan yang membantah perlu dijemput memberikan pandangan," kata Dr Asri melalui sebuah kiriman emel dari Lampeter, United Kingdom.
Katanya lagi, penilaian adil perlu untuk panduan kerajaan.
"Malanglah jika isu-isu pinggiran dibincangkan sedangkan isu-isu besar yang membabitkan kepentingan umat ditinggalkan. Majlis Fatwa Kebangsaan menggunakan wang awam, maka pastikan faedahnya balik kepada awam secara jelas. Mesyuarat yang biasanya berlangsung di hotel-hotel yang hebat itu perlu mengeluarkan pandangan-pandangan yang hebat untuk kemaslahatan umum," kata tokoh agama yang sering melontarkan pandangannya tentang isu agama dan semasa.
Jelasnya lagi, hari ini rakyat memberi berbagai pendapat tentang ISA.
Dua kumpulan iaitu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) iaitu (anti-ISA) dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - (Pro-ISA), masing-masing bercadang mengadakan perhimpunan menyokong dan membantah ISA pada hari Sabtu ini, 1 Ogos di ibu negara.
GMI bercadang untuk mengadakan perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos ini dan pada masa yang sama, Magaran yang dianggotai Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Perkasa dan beberapa badan-badan gabungannya turut bercadang untuk mengadakan perhimpunan menyokong akta itu. Jika kedua kumpulan inimeneruskan hasrat mereka, masing-masing menyasarkan penyertaan 100,000 orang pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta campur tangan baginda mendesak kerajaan memansuhkan ISA.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman menyifatkan kedua-dua perhimpunan itu yang masing-masing membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai perhimpunan haram kerana pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit untuk tujuan itu atas sebab keselamatan dan ketenteraman awam.
Melihat perkembangan yang tidak sihat ini, Dr Asri terpanggil untuk memberi pandangan beliau tentang isu ISA ini.
Katanya lagi, "Berikan pandangan para mufti pula. Masakan mungkin mereka tidak peka, sedangkan semua rakyat berbicara. Saya secara peribadi semasa menjadi mufti telah mengeluarkan pandangan dalam bulan Ramadhan lepas di Perlis, Kelantan, Kuala Lumpur dan berbagai tempat.
"Media tempatan telah berulang kali menyiarkannya. Kali ini kita menuntut pandangan rasmi agensi agama kerajaan pusat pula," kata Dr Asri yang dijangka kembali ke tanah air tidak lama lagi setelah setahun membuat pengajian mendalam tentang hadith di UK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan