Selasa, 28 Julai 2009

‘Siasat bukan di bangunan tinggi’

Oleh Norfatimah Ahmad


PETALING JAYA: Bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam mencadangkan prosedur soal siasat suspek atau saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dilakukan di bangunan tinggi.

Sambil mengakui ada kelemahan dalam prosedur soal siasat sekarang, bekas Pengarah Siasatan BPR, Razak Idris, juga mencadangkan pengawasan rapi dilakukan semasa dan selepas soal siasat bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau juga berkata, tiada peruntukan jelas dalam prosedur standard operasi (SOP) siasatan sama ada seseorang saksi boleh disoal siasat selepas jam 6 petang, selain sama ada khidmat peguam boleh digunakannya ketika disoal siasat.

Razak berharap semua persoalan itu akan diberi pertimbangan oleh Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi meningkatkan keberkesanan tugas pegawai penyiasat SPRM, selain mengelaknya daripada menjadi isu pada masa depan.

“Saya kemukakan saranan ini kerana ia berkait rapat dengan tekanan yang dihadapi bukan saja saksi dan tertuduh, malah pegawai penyiasat SPRM ketika bertugas.

“Saya tidak terkejut dengan kematian Teoh Beng Hock, kerana sejak BPR berpindah ke bangunan tinggi, saya sudah menjangka insiden seperti itu akan berlaku kerana kemungkinannya sentiasa ada untuk sesiapa saja bertindak di luar batasan termasuk membunuh diri jika tidak dapat menahan tekanan ketika proses soal siasat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, kematian Teoh bukan kes pertama seumpama itu. Kira-kira 15 tahun lalu, seorang tertuduh kes rasuah di Kuching, Sarawak membunuh diri selepas dibebaskan dengan jaminan BPR.

Razak, 60, tampil untuk menjelaskan hal berkaitan SOP kerana bimbang pandangan serong rakyat terhadap SPRM akan menjejaskan imej suruhanjaya itu.

Rabu lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan prosedur soal siasat SPRM, selain inkues bagi mencari punca kematian Teoh.

Razak yang bersara selepas 30 tahun berkhidmat dengan BPR, berkata pegawai penyiasat juga menghadapi pelbagai tekanan termasuk desakan kes diselesaikan segera, bagaimanapun mereka ada kelebihan kerana dilatih untuk menguruskan tekanan.

“Berdasarkan pengalaman saya, saksi akan rasa tertekan jika keterangan diberi mendedahkan kesalahan majikan, parti, organisasi atau ahli keluarga hingga menimbulkan rasa kesal atau bersalah,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh soal siasat saksi, beliau mengakui tempoh lapan jam untuk soal siasat adalah perkara biasa, terutama membabitkan saksi yang ada banyak dokumen dan memerlukan pengesahan maklumat dalam komputer.

Bagaimanapun, katanya, tempoh 12 jam atau lebih adalah sesuatu yang tidak normal.

“Walaupun saksi diberi kebebasan untuk berehat, ke tandas atau merokok ketika disoal siasat, saksi perlu sentiasa diawasi untuk memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini hingga boleh menjejaskan siasatan.

“Sebaiknya ada daftar keluar masuk bagi tetamu, selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantapkan pengawasan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, prosedur soal siasat BPR juga tidak membenarkan pegawainya bertindak kasar secara fizikal, maki hamun, menyentuh perkauman atau mengugut saksi.

Tiada ulasan: