UTUSAN ONLINE
SHAH ALAM - Sepasukan pegawai dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini mengambil selak tingkap dari lokasi Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock jatuh di bangunan Plaza Masalam di sini pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, pasukan tersebut turut mengambil mesin menyimpan data kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di tingkat empat bangunan tersebut.
''Selak tingkap itu akan dihantar ke makmal forensik polis di Cheras bagi tujuan kajian,'' katanya kepada pemberita selepas meninggalkan plaza itu pukul 7.50 malam ini.
Sebelum itu, Omar bersama sekurang-kurangnya 10 pegawai dan kakitangan forensik yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Supritendan Ahmad Nazri Ahmad Zainal memasuki bangunan itu yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kira-kira pukul 5.20 petang.
Mayat Beng Hock, 30, ditemui di tingkat lima menjadi misteri kerana ia berlaku selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut.
Siasatan tersebut berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri yang melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Namun, setakat ini, keputusan awal bedah siasat mendapati mendiang mati kerana kecederaan setelah jatuh dari paras tinggi dan tiada kecederaan luaran pada badan mangsa.
Omar selanjutnya memberitahu, kehadiran pasukan forensik itu bukan dianggap serbuan sebaliknya lebih kepada lawatan semula polis ke tempat kejadian untuk mengetahui bagaimana insiden itu berlaku.
''Malah, kedatangan unit itu hari ini telah dimaklumkan kepada SPRM dan pegawai suruhanjaya itu memberi kerjasama,'' katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mengambil apa-apa fail atau komputer di pejabat itu dan keputusan sama ada polis akan datang lagi ke pejabat tersebut belum dipastikan lagi.
''Saya tidak boleh komen, minta komen dari Ketua Polis Selangor (Datuk Khalid Abu Bakar) esok,'' jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan