Khamis, 30 Julai 2009

'Kembalikan saham Bernas kepada rakyat'

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk mengembalikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang kini dimiliki orang luar ke tangan rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, Gabem akan membuat gesaan bertulis kepada kerajaan supaya kedudukan saham Bernas itu dikaji semula.

''Kalau boleh biar Bernas jadi macam badan korporat di mana sahamnya diapungkan di pasaran jadi komoditi strategik.

''Macam mana kita boleh benarkan sampai 30 peratus komoditi penting seperti makanan harian rakyat Malaysia dikuasai orang luar,'' soalnya ketika ditemui pemberita di pejabat Gabem di sini hari ini.

Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. yang kini muncul pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat strategik pembekalan beras negara itu.

Mengikut laporan tersebut, berdasarkan pengumuman urus niaga pemegang saham utama Bernas di Bursa Malaysia baru-baru ini, Wang Tak menguasai 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 470.402 juta saham Bernas.

Rahim berkata, demi kepentingan nasional, komoditi strategik Malaysia termasuk beras mesti dikuasai rakyat negara ini jika tidak dikuasai kerajaan demi menjaga masa depan negara.

''Sebelum ini pun pandangan supaya saham-saham yang dikuasai orang luar dalam perniagaan seperti beras dikembalikan ke tangan rakyat Malaysia sudah dinyatakan dalam satu atau dua forum,'' ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia kekurangan beras dan jika ada unsur-unsur luar atau negara luar menguasai saham-saham pada jumlah yang besar, ia dikhuatiri dapat dimanipulasi pada saat-saat genting.

''Kita patut ingat beras ialah makanan asasi rakyat Malaysia, jadi jangan kita buka luas saham kita sehingga orang luar dalam diam sudah ambil dalam jumlah yang besar.

''Walaupun kita rasa kita boleh kawal, namun persepsi rakyat kita tidak dapat menerima saham dimiliki negara luar,'' kata Rahim.

Jelasnya, beras merupakan kepentingan negara kerana ia bukan sahaja dimakan oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia termasuk Iban, Cina dan India.

Tiada ulasan: