Jumaat, 31 Julai 2009

Bajet 2010 kurangi beban rakyat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan berjanji Bajet 2010 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober ini merupakan bajet berhemat yang akan memberi impak kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerajaan akan berusaha mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah di luar bandar dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sewajarnya melalui peruntukan Bajet 2010.

"Ia juga selaras dengan salah satu teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran laman web baru Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Bangunan Kerajaan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah.

Awang Adek berkata, kerajaan berharap peruntukan yang akan disediakan dalam Bajet 2010 juga mampu memulihkan ekonomi negara yang terjejas berikutan kelembapan ekonomi global pada masa ini.

"Pada masa sama, kita berasa lega kerana pakej rangsangan ekonomi yang disediakan kerajaan sebelum ini mampu menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara selain dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi pelbagai pihak," katanya.

Tambah beliau, kerajaan amat pragmatik daripada segi pengurusan kewangan dan mempunyai disiplin kewangan dalam usaha menyediakan bajet yang benar-benar kos efektif.

"Kami memang menerima banyak permohonan peruntukan dalam Bajet 2010. Namun, kami tidak mampu melayan kesemua permohonan tersebut dan perlu membuat pilihan supaya perbelanjaan itu berhemat serta boleh memberi impak kepada rakyat," katanya.

Menurut Awang Adek, pihaknya juga sedang mengkaji cara-cara untuk memacu industri halal negara ke peringkat global menerusi Bajet 2010 selepas ia masih tidak menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

"Malaysia agak ke depan dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam berbanding negara-negara Islam lain di dunia. Bagaimanapun, kita tidak begitu berjaya dalam aspek perkhidmatan dan perdagangan barangan halal," jelasnya.

Sementara itu, Hasmah berkata, laman web baru LHDN memberi tumpuan kepada reka bentuk yang lebih profesional dan mesra pengguna selain melibatkan penyusunan semula kandungannya.

"Antara ciri baru laman web ini adalah paparan resolusi yang lebih jelas iaitu 1024 X 768 berbanding 800 X 600 sebelum ini dan penyusunan semula kandungan mengikut kumpulan pengguna melibatkan individu, syarikat serta majikan," katanya.

Beliau memberitahu, LHDN mencapai kutipan kasar cukai pendapatan lebih RM50 bilion setakat ini dengan peningkatan sebanyak 1.12 peratus berbanding tahun lalu.

"Kami juga telah membuat pembayaran balik lebihan cukai sebanyak RM3 bilion kepada pembayar cukai setakat ini," kata beliau.

Tiada ulasan: