Sabtu, 27 Jun 2009

Selangor naik tawaran beli konsesi bekalan air

PNSB, Syabas diberi tempoh empat hari buat keputusan

amarulzaidi


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor memperbaharui dan menaikkan tawarannya untuk membeli aset konsesi bekalan air negeri sebanyak 59 peratus kepada RM9.217 bilion, berbanding RM5.78 bilion yang dibuat Februari lalu.

Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia semalam, Puncak Niaga Holdings Bhd, Gamuda Bhd dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS), yang memiliki aset air berkenaan, masing-masing mengumumkan pemerolehan surat tawaran kedua itu kelmarin.

Secara umumnya, syarikat terbabit menjelaskan, tawaran terbaru itu turut memasukkan anggaran tanggungan konsesi termasuk bon, yang tidak diambil kira sebelum ini.

Puncak Niaga dalam kenyataannya mengumumkan, anak syarikat milik penuhnya, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) ditawarkan RM1.936 bilion bagi aset, meningkat RM253 juta atau 15 peratus daripada tawaran awal RM1.683 bilion.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), anak syarikat 70 peratus milik Puncak Niaga, ditawarkan RM3.36 bilion, meningkat RM1.85 bilion atau 122 peratus daripada tawaran awal RM1.512 bilion.

Gamuda dalam kenyataannya pula berkata, anak syarikat milik 40 peratusnya, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash), ditawarkan semakan RM2.064 bilion, meningkat RM911 juta atau 44 peratus daripada tawaran asal RM2.064 bilion.

Sementara itu, KPS mengumumkan, anak syarikat 55 peratusnya, Konsortium Abass Sdn Bhd, ditawarkan RM946 juta, meningkat RM420.33 juta atau 80 peratus berbanding tawaran yang dibuat kerajaan negeri pada Februari lalu sebanyak RM525.67 juta.

Ketiga-tiga syarikat itu berkata, tawaran kedua itu secara umumnya dinilai berdasarkan sekali ganda nilai buku seperti yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan menerusi Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).

Berdasarkan surat yang diterima, ketiga-ketiga syarikat itu diberi tempoh hingga Isnin ini untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran itu.

"PNSB dan Syabas hanya diberi tempoh empat hari sehingga 29 Jun 2009 termasuk Sabtu dan Ahad untuk memberi maklum balas mengenai tawaran baru Kerajaan Negeri Selangor itu," kata Puncak Niaga bagi pihak PNSB dan Syabas.

Gamuda berkata: "Pemegang saham Splash mempertimbangkan tawaran itu. Kami akan membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia mengenai keputusannya".

Sementara itu, KPS yang dimiliki 60 peratus ekuitinya oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) yang dikuasai Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, turut akan mengkaji tawaran itu dan akan membuat pengumuman.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor menawarkan untuk menjual aset bekalan airnya kepada PAAB yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan pada harga RM9.7 bilion.

Kerajaan Selangor menerusi anak syarikatnya KDEB mencadangkan penstrukturan semula industri air di Selangor dengan mengambil alih syarikat pemegang konsesi iaitu PNSB, Konsortium Abass, Splash serta Syabas.

Tiada ulasan: