Sabtu, 27 Jun 2009

Dua anak pramugari dijangkiti H1N1

MALAYSIA KINI


Seorang lagi anak pramugari berusia 4 tahun menjadi mangsa jangkitan wabak selesema A (H1N1) di Pulau Pinang - menjadi kes ke-16 penularan tempatan sejak lebih seminggu lalu.

Kanak-kanak itu, juga adik kepada pengidap ke-101, dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang malam tadi untuk rawatan antivirus dan keadaannya dilaporkan stabil.

Pramugari, 38 tahun, bertugas di penerbangan MH 151 dari Jeddah pada 19 Jun dan terus balik ke rumahnya di Pulau Pinang dengan pesawat MH1166 pada hari yang sama.

Beliau disahkan positif 23 Jun lalu dan dikelaskan sebagai kes 79 keesokannya.

Anaknya berumur 6 tahun dikelaskan sebagai kes ke-15 penularan tempatan semalam setelah dikuarantin di rumah dan diberi profilaksis antivirus 24 Jun - beliau dilaporkan dalam keadaan stabil.

Setakat pagi tadi, jumlah keseluruhan 112 kes sejak 15 Mei, peningkatan tujuh lagi kes baru, termasuk enam kes import.

Empat buah sekolah yang diarahkan ditutup selama seminggu akan dibuka Isnin ini.

Sekolah-sekolah tersebut: SRK Jalan Davidson, Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, SRK Assunta 1 dan SRK Assunta 2.

Tiga buah lagi sekolah yang diarah masing-masing menutup sebuah kelas akan dibuka minggu depan.

Hanya dua kelas di SMK Abdul Rahim 2 di Kudat, Sabah akan terus ditutup sehingga 29 Jun susulan seorang guru wanitanya, 24 tahun, dijangkiti wabak itu selepas pulang dari Turki.

Bagaimanapun pentadbiran sekolah itu sendiri mengambil keputusan menutupnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam laporan Bernama.

"Oleh kerana ramai guru dan kakitangan sekolah yang dikuarantin, maka mereka menutup sendiri sekolah walaupun kementerian pada asalnya hanya mengarahkan dua kelas sahaja yang ditutup," katanya.

Beliau menambah, daripada 1,843 kes yang disiasat 1,705 disahkan negatif dan 26 kes masih menunggu keputusan.

Tiada ulasan: