Isnin, 29 Jun 2009

Kerajaan Cadang Guna Kereta Transmisi Gear Automatik Untuk Ujian Memandu

BERNAMA


KUALA LUMPUR -- Kerajaan bercadang untuk menggunakan kereta transmisi gear automatik sebagai kereta untuk digunakan semasa ujian memandu seperti yang digunakan di kebanyakan negara lain seperti United Kingdom, Jepun dan Singapura.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata cadangan itu dijangka dilaksanakan penghujung tahun ini.

"Bagi melaksanakan cadangan ini, kementerian akan membuat perubahan kepada kurikulum memandu, latihan ujian memandu dan menstruktur semula kelas lesen memandu bagi menetapkan kelas khas lesen memandu untuk penggunaan kenderaan automatik.

"Peraturan untuk membenarkan penggunaan kenderaan automatik bagi tujuan ujian memandu juga akan dirangka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata kerajaan juga mungkin akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 bagi memudah cara pelaksanaannya.

Beliau berkata kementerian juga akan membuat penambahbaikan kepada kurikulum pendidikan pemandu dengan memasukkan unsur etika dan moral.

"Inisiatif ini sedang diperhalusi oleh pelbagai pihak dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan wakil persatuan memandu.

Abdul Rahim berkata kesemua penekanan itu diadakan bertujuan melahirkan pemandu kenderaan persendirian dan awam yang memiliki kecekapan, berhemah dan memiliki mentaliti kelas pertama selain mengurangkan kemalangan fatal yang masih berada di tahap yang tinggi masa kini.

Tiada ulasan: