Selasa, 30 Jun 2009

Ambil alih 5 dewan orang ramai

MYMETRO


MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil alih lima dewan orang ramai yang berada di kawasan lapang untuk mengembalikan hak komuniti kepada penduduk.

Sebelum ini, MPAJ sudah mengambil alih dewan orang ramai di Kampung Melayu Ampang yang dulu pejabat Umno untuk dijadikan Pusat Dialisis Rakyat.

Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohammad Yaacob, berkata kerajaan negeri sudah membuat keputusan untuk mengambil alih bangunan itu dan semua pihak perlu mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Pihak yang terbabit perlu menerima keputusan yang sudah dibuat kerajaan negeri memandangkan mereka mendirikan bangunan di atas tanah milik kerajaan.

“Badan Bukan Kerajaan (NGO) boleh menyewa bangunan yang akan didirikan MPAJ di tanah itu dan bukan tidak dibenarkan langsung untuk menggunakan kawasan berkenaan,” katanya.

Ini berikutan dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Ong Tee Kiat yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan kemudahan awam dikendalikan NGO satu penindasan kepada penduduk.

“Surat jaminan sudah diberi kepada sebuah NGO iaitu Yayasan Nusa Bakti bagi menguruskan lima dewan berkenaan di bawah pentadbiran kerajaan lepas, namun dewan itu disalahgunakan untuk tujuan komersial dan politik yang merugikan penduduk.

“Dakwaan Ong menunjukkan beliau tidak faham usaha baik kerajaan negeri yang cuba memperbetulkan kesilapan kerajaan lalu iaitu membenarkan bangunan milik kerajaan disalahgunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Menurutnya, usaha kerajaan negeri mengambil alih bangunan berkenaan bagi memastikan bangunan milik kerajaan dimanfaat sepenuhnya oleh penduduk setempat dan bukan menjadi alat mengaut keuntungan pihak tertentu.

“Ong tidak wajar terus mengeluarkan tuduhan tidak benar itu semata-mata untuk mencemarkan usaha baik kerajaan negeri.

“Jika benar apa yang didakwa olehnya bahawa berlaku penyelewengan, beliau harus melaporkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan undang-undang demi kepentingan awam,” katanya.

Tiada ulasan: