Ahad, 28 Jun 2009

Idris sedia disiasat SPRM

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Gong Badak, awal bulan lalu.

Menurutnya, siasatan harus dilakukan bagi mengetahui punca sebenar runtuhan stadium terbabit dan beliau akan memberi kerjasama penuh kepada badan penyiasat mengenai segala maklumat yang diketahuinya berhubung perkara itu.

Bagaimanapun kata Idris, sehingga kini beliau masih belum ditemui mana-mana pihak termasuk SPRM bagi membincangkan isu itu.

“Biasalah, siasat apa salahnya, siasatan perlu dibuat dan ia mengikut proses (dan) saya kalau dipanggil, akan beritahu (semua) apa yang saya tahu (lebih penting) siasatan perlu dibuat (cari punca) kenapa ia runtuh,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Mara berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan penutupan Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di Hotel Felda Residence di sini, semalam.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak runtuh pada 2 Jun lalu sehingga menyebabkan 60 peratus strukturnya musnah.

Stadium yang menjadi lokasi utama temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru disiapkan setahun lalu mampu memuatkan 50,000 penonton adalah stadium terbesar di Pantai Timur.

Sementara itu, mengulas rombakan UMNO Terengganu, Idris yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, beliau menghormati keputusan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melaksanakan pelantikan itu.

Menurut Idris, beliau yakin Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO telah berfikir dengan sebaik mungkin sebelum mengumumkan pengisian tiga kekosongan jawatan utama itu.

Pada mesyuarat itu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai Setiausaha UMNO Terengganu, sementara Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Abdul Rahin Mohd Said masing-masing dilantik Ketua Penerangan serta Bendahari.

Ditanya desas-desus bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak bersetuju dengan rombakan itu, Idris berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana baru pulang dari luar negara namun percaya wujudnya situasi seumpama itu.

“Saya baru balik dari (Universiti) Harvard semalam, jam 10 baru sampai Besut, saya tidak sempat dalam mesyuarat perhubungan, tidak sempat menilai sebenarnya siapa yang suka siapa yang tak suka (tetapi) memang adalah yang tak suka,” katanya.

Tiada ulasan: