Selasa, 30 Jun 2009

Faktor gaji punca rakyat kita tak minat

MY METRO


PUTRAJAYA: Rakyat negara ini hanya berminat bekerja pembantu rumah sekiranya ditawarkan gaji tinggi, bagaimanapun majikan di negara ini hanya menawarkan gaji tertinggi RM700 sebulan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, kajian yang dibuat kementerian tiga tahun lalu menunjukkan 70 peratus majikan hanya sedia membayar antara RM350 hingga RM500.

“Sementara 26 peratus saja yang sanggup membayar RM700. Keadaan ini menyebabkan ramai rakyat tempatan tidak sanggup bekerja pembantu rumah.

“Ini (gaji kecil) satu kekangan yang dihadapi rakyat tempatan, sebenarnya mereka sanggup menjadi pembantu rumah, tetapi gaji yang ditawarkan perlu lebih tinggi dan bukan seperti yang ditawarkan majikan ketika ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bersama kedua antara Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Percetakan Nasional Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (KPPPNMBSM) dan Jabatan Tenaga Manusia dengan PNMB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PNMB, Tan Sri Mohd Bakri Omar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, R Segarajah, Pengarah Urusan PNMB, Datuk Mohd Habib Jamaldin dan Yang Dipertua KPPPNMBSM, R Vittal Rao.

Sehubungan itu, Maznah berkata, banyak lagi perkara perlu dikaji dalam usaha menarik rakyat tempatan bekerja pembantu rumah.

Selian itu, katanya, majikan dan pihak industri yang sanggup memberi sokongan kewangan atau menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak di premis masing-masing boleh diberikan pengecualian cukai dua kali ganda.

Tiada ulasan: