MALAYSIA KINI
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau tidak akan melayani cabaran Lim Kit Siang untuk menyertai siri debat di lima negeri mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kerana berpendapat penasihat DAP itu akan memutarbelitkan fakta berhubung isu berkenaan.
"Kalau hendak berdebat pun, saya harap beliau boleh berdebat dengan kewarasan dan sopan santun. Tindakan memutarbelitkan fakta tidak dapat menyelesaikan isu PKFZ," kata Ong kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, lapor Bernama.
"Kalau orang politik macam dia (Lim) yang nak buka gelanggang (debat), dia sendiri jadi tok dalang, mendalangi sendiri apa yang dia cakap, sendiri yang mendakwa, sendiri yang buat kesimpulan, saya rasa, akhirnya itu sesuatu yang hanya memalukan dirinya sendiri saja," kata Ong yang juga Presiden MCA.
Katanya, sejak tiga tahun lalu, Lim telah mengungkit soalan yang sama mengenai PKFZ.
"Jawapan telah dibuat, fakta yang dia nak pun dah didedahkan, dia masih lagi dalam keadaan celaru. Saya rasa sama ada dia kurang faham ke atau buat-buat tak faham.
Terdahulu, Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur dalam sidang medianya mencabar Ong supaya turut membawa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy yang turut dikaitkan dengan isu PKFZ bagi membantunya ketika berdebat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan