Isnin, 18 Mei 2009

Tian Chua diarah bela diri tuduhan cedera polis

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua Chang, 46, membela diri terhadap pertuduhan mencederakan anggota polis Disember 2007.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membuat keputusan selepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mohd Faizi dalam penghakimannya berkata, beliau mengambil kira keterangan yang menunjukkan saksi pendakwaan kedua yang juga mangsa, Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, tiada niat dan sebab untuk menumbuk Tian Chua kerana mangsa perlu mempertahankan diri dalam satu pergelutan.

Mohd Faizi berkata terdapat dua elemen dalam penghakimannya iaitu mangsa sebagai penjawat awam hanya menjalankan tugasnya ketika dalam operasi itu, khususnya ketika menahan Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, dan bahawa tertuduh juga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Katanya keterangan Dr Norzilawati Ahmad, yang merawat Rosyaidi, menyatakan bahawa gigitan yang terdapat pada lengan anggota polis itu adalah kuat sehingga memberikan kesan.

Tian Chua dituduh menyebabkan kecederaan terhadap Rosyaidi pada 10.45 pagi 11 Dis 2007 di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini.

Tuduhan adalah mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Mohd Faizi kemudian menetapkan 20 dan 21 Julai ini untuk perbicaraan.

Tian Chua diwakili Ranjit Singh.

Tiada ulasan: