Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU - PAS menjangkakan Umno/BN tidak akan meletak calon bagi merebut kerusi Dun Penanti yang dikosongkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairuz Khairuddin.
Presiden PAS, Dato' Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya Umno mengatakan pilihan raya kecil di Penanti membazirkan wang kerajaan, ia menggambarkan mereka telah mengaku kalah sebelum bertanding.
"Maka wajarlah kemenangan diberi kepada Pakatan Rakyat.
"Pakatan Rakyat tetap bersedia menghadapi pilihan raya di Dun Penanti walaupun ada desas desus yang mengatakan BN tidak akan meletakkan calon," ujarnya ketika ditemui di mesyuarat Agung PAS Kubang Kerian kali ke-35 di Sekolah Menengah Ugama Taqaddum Maarif Pasir Tumboh di sini semalam.
Menyentuh tentang propaganda media harian yang mengatakan terdapat kumpulan tertentu dalam pemlihan pimpinan PAS kali, Ustaz Abdul Hadi berkata itu adalah modal lama Umno/BN.
"Saya tidak melihat pertandingan dalam PAS sebagai merebut jawatan yang melibatkan politik wang dan lobi melobi, Umno saja yang dok kalut mengatakan kita ada kumpulan tertentu.
"Sebab itu saya mengatakan modal lama, dulu pun mereka kata kita ada golongan ulama bertembung dengan golongan profesional, kini golongan pro muzakarah dengan yang menentangnya, itu adalah karut," katanya.
Menurut beliau jawatan presiden dalam PAS boleh ditandingi dan beliau beranggapan ia seperti sebuah rumah yang mempunyai atap, tingkap, dinding dan tiang, sesiapa yang berada di tahap atap ia akan lebih memikul tanggungjawab sehinggakan panas dan hujan tetap utuh di atas. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan