Rabu, 22 April 2009

‘Ada pihak menangguk di air yang keruh’ dari Projek Tangki Air Di Pulau

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Buletinonline telah mendedahkan kerja-kerja satu lagi projek ‘kemelut’ Barisan Nasional (BN), menebang balak dan ‘menarah’ alam semulajadi Pulau Redang 9 April lalu.

Sepuluh hari selepas itu, barulah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw, sibuk membuat kenyataan dan mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan negeri menjalankan siasatan.

Beliau yang melawat lokasi projek pembinaan tangki air itu Khamis lalu agak terkejut dengan kadar pencemaran air yang berlaku dan berkata, air berlumpur didapati mengalir terus ke laut akibat penebangan pokok tanpa kawalan.

Beliau turut percaya balak yang dilambakkan dihadapan pejabat tapak projek berkenaan adalah ditebang tanpa kelulusan.

"Saya percaya balak yang ditebang itu mencecah nilai ratusan ribu ringgit dan boleh menjejaskan ekosistem persekitaran pulau kerana penebangan dilakukan tanpa mengikut spesifikasi kerajaan hingga menyebabkan pencemaran," katanya.

Namun begitu, sehari selepas Toh membuat kenyataan diatas, Pengurus Operasi Kanan Syarikat Air Terengganu (SATU) Baharin Puteh terus mengeluarkan kenyataan seolah-olah mewakili Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan negeri.

Baharin berkata pembinaan tangki air itu mengikut peraturan dan dilaksanakan dengan mengambil kira semua keperluan termasuk menjaga alam sekitar pulau tersebut.

Beliau menambah, penebangan kayu balak dalam kawasan hutan simpan itu telah mendapat kelulusan Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu.

Apakah cerita disebalik projek pembinaan tangki air untuk disalurkan kepada resort dan rumah rehat di pulau pelancongan itu.

Dalam mencari jawapan tersebut, Buletinonline telah menghubungi masyarakat setempat bagi mendapatkan gambaran sebenarnya.

Seorang penduduk tempatan, Ahmad Mohd Amin, 46, berkata pihak berkuasa tidak pernah berbincang dengan penduduk setempat dalam melaksanakan projek tersebut.

Beliau berpendapat tangki air berkenaan tidak sepatutnya dibina di kawasan tersebut kerana kedudukannya lebih jauh dari resort dan chalet berbanding tangki asal yang dibina untuk kemudahan bekalan air kepada penduduk kampung.

“Jarak antara belakang sekolah lama dengan kawasan pelancungan di Pasir Panjang adalah lebih jauh berbanding tempat tangki air untuk orang kampung,

“jadi, kenapa dibina disitu,”soalnya (Rujuk rajah gambar satellit di bawah)

Menurutnya ada ‘udang disebalik batu’ dan ada pihak yang ‘menangguk di air yang keruh dari perlaksanaan projek itu.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 140 batang balak dara jenis Keruing telah ditebang dari lereng bukit yang terletak dalam hutan simpan dimana lokasi projek tersebut dibina.

Beliau turut merasa hairan, bagaimana pegawai SATU boleh memberi kenyataan tentang penebangan balak itu.

“Pegawai Jabatan Hutan baru tiba untuk pemeriksaan hari ini (semalam 21 April) macamana pegawai SATU kata tebang balak telah mendapat kelulusan?,

”Setahu saya tebang balak tak dapat kelulusan, sebab itu, walaupun ia telah lama ditebang, tidak dibawa keluar dari pulau, tapi dilonggokkan disitu,”katanya ketika dihubungi melalui telefon lewat semalam.

Seorang lagi penduduk tempatan, Baharudin Mohamad, 40, berkata syarikat yang mendapat tender projek itu adalah Ikatan Tani Sdn Bhd, tetapi kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh pihak lain yang mungkin menjadi sub-kontraktor.

Menurutnya, maklumat yang diperolehi dari para pekerja kontrak pembinaan, kebanyakkan dari mereka berasal dari daerah Marang.

“Katanya (pekerja kontrak) syarikat itu baru pertama kali dapat projek bekalan air,”tambahnya.

Menurut carian, Ikatan Tani Sdn Bhd beralamat di Lot Pt 22689-k Kawasan Perindustrian Gong Badak 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Syarikat yang berdaftar dengan CIDB Reg. No. 0120030408-TR082217 memiliki Specialisation Code (Grade) : G7, CE21 - kerja-kerja am kejuruteraan awam dan B04 - kerja bangunan am.

Projek Pembangunan Bekalan Air Bersih Ke Teluk Kalong Dan Pasir Panjang, Pulau Redang, adalah projek dibawah Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang dipengerusikan oleh Yahaya Khatib Ali yang juga ADUN Pengkalan Berangan.

Projek yang ditender pada 22 April tahun lalu, diserahkan perlaksanaannya kepada anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab keatas bekalan air bersih dinegeri Terengganu, SATU.

Timbalan Menteri Pelancungan Dato' Ahmad Zahid hamidi pada tahun 2004 telah mentakan dalam parlimen projek bekalan air ke pusat-pusat Pelancungan di Pulau Redang itu bernilai RM3.521 juta.

Tiada ulasan: