Muda Mohd Noor
Harapan Barisan Nasional (BN) untuk menang adalah tipis jika ia meletakkan calon MIC bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April depan, kata Naib Ketua Umno bahagian Merbok, Abdul Rahman Ahmad.
Sehubungan itu, katanya, rata-rata pengundi Bukit Selambau mahukan Umno bertanding di kerusi tersebut.
Abdul Rahman berkata, maklumat ini diperolehi dari cawangan-cawangan Umno, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan di Bukit Selambau.
"Jika letak calon MIC, tiada jaminan akan menang kerana undi orang India berpecah kepada parti itu dan parti lawan.
"Kekalahan calon MIC dalam pilihanraya umum lalu kerana faktor Hindraf yang menolak calon MIC dan menyokong pembangkang," katanya.
Abdul Rahman yang juga ketua Umno Kampung Sungai Lalang berkata, faktor calon juga memainkan peranan penting bagi BN merampas semula kerusi Bukit Selambau.
Katanya, penduduk tidak mahu calon dari golongan korporat kerana kerana mereka sukar berurusan dengan mereka.
"Jika anda ingat, Datuk Badri Yunus yang hanya seorang petani pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau selama dua penggal berturut-turut pada tahun 1986 dan 1990," katanya.
'Mampuih tak menang'
Seorang lagi pemimpin Umno di bahagian tersebut, Ahmad Ali berkata, orang Melayu menolak calon MIC kerana banyak isu yang membabitkan kaum itu yang belum selesai.
Katanya, isu-isu kaum India itu akan digunakan oleh pembangkang untuk menyerang BN.
"BN perlu meletakkan calon Melayu jika ingin merampas semula kerusi Bukit Selambau. Kalau orang lain selain orang Melayu, orang Kedah kata, `mampuih tak menang.'" katanya lagi.
Seorang ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Merbok yang enggan namanya disiarkan berkata, BN sukar untuk menang jika meletakkan calon keturunan India bertanding di Bukit Selambau.
Ini, katanya, kerana MIC telah tidak mendapat sokongan daripada orang I ndia sendiri.
Bagaimanapun, katanya, sekalipun BN meletakkan calon dari Umno, ia bukan jaminan untuk menang.
"Orang India pula tidak akan menyokong calon dari kalangan orang Melayu. Dan cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah BN mengadakan rundingan di antara komponen untuk menentukan calon terbaik.
"Tetapi jika calonnya orang Melayu, peluang untuk BN menang lebih cerah sedikit," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan