Sm Noor
Dungun – Kelulusan Menggunakan Padang Astaka Dungun yang diberikan kepada Program ‘Rayuan Gaza, Palestin: Bantulah Mereka’ dibatalkan tanpa alasan munasabah dan dimaklumkan oleh pihak Majlis Perbandaran Dungun (MPD) atas arahan ‘orang atasan’.
Penganjur program, Yayasan Amal Malaysia (Amal) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) melahirkan rasa dukacita dengan tindakan drastik MPD terpaksa memindahkan program tersebut ke perkarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun hari ini.
Pengerusi program, Hj Husin Ismail berkata program tersebut diadakan bagi mengumpul dana yang akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa kekejaman Israel di Palestin dan telah diusahakan oleh lebih 30 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri Terengganu.
Beliau menyifatkan pembatalan penggunaan Padang Astaka oleh MPD di saat akhir persiapan adalah amat tidak wajar dan tidak profesional.
Katanya, program ‘genuine’ anjuran NGO dan badan amal dengan tujuan ikhlas membantu umat Islam di Gaza Palestin telah menjadi mangsa ‘politik’ pihak tertentu.
“Kita terima panggilan telefon tengahari semalam (12 Februari) dan diberitahu kelulusan penggunaan Padang Astaka itu ditarik balik serta-merta tanpa alasan kukuh.
“kami diberitahu juga pembatalan untuk menggunakan Padang Astaka kerana arahan ‘orang atasan’ dan siapakah mereka (orang atasan) itu,” jelasnya.
Menurutnya, tindakan MPD yang tidak profesional itu boleh di samakan dengan tindakan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan memburukkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Mampat, Encik Fauzi Abu Samah terkilan dengan tindakan pihak MPD membatalkan penggunaan tempat yang dibangunkan oleh kerajaan untuk kegunaan umum.
Katanya, sebagai pihak penganjur, mereka terpaksa menanggung kerugian dan kritikan akibat tindakan MPD itu kerana hebahan promosi dibuat ke merata tempat.
“Kita telah buat hebahan yang besar di radio, akhbar, banner dan poster untuk memberitahu orang ramai tentang tempat program Rayuan Gaza tetapi dibatalkan di saat akhir.
“Kos promosi program melebih RM10,000 dan kami terpaksa memindahkan lokasi program ke tempat lain,” ujarnya.
Menurut Encik Fauzi, program dipindahkan ke lokasi di perkarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate yang agak terhad kapasitinya.
Katanya, program tersebut tetap akan diteruskan kerana orang ramai yang telah memberikan akujanji untuk memberi sumbangan lebih RM60,000 pada malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan