Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
TAIPING - UMNO Bahagian Bukit Gantang mahu pucuk pimpinan mempertimbangkan permintaan mereka untuk meletakkan anak tempatan bertanding di kerusi Parlimen itu.
Ketuanya, Datuk Rosli Husin berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan faktor calon anak tempatan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan.
''Kami telah menunggu lebih 20 tahun, sudah sampai masa kami mahu melihat anak tempatan bertanding di Bukit Gantang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong yakin dengan meletakkan calon yang dapat diterima oleh para pengundi, Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula kerusi yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu.
Ditanya siapakah antara calon anak tempatan yang layak diketengahkan pada pilihan raya kecil kali ini, beliau berkata, itu terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.
"Kita akan terima sesiapa sahaja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan, cuma kita harap orang itu adalah anak tempatan," katanya.
Sementara itu, tinjauan yang dibuat mendapati penduduk kawasan Parlimen Bukit Gantang, turut mahu anak tempatan mewakili mereka bagi kerusi tersebut.
Rata-rata mereka yang ditemui berkata, faktor anak tempatan sepatutnya menjadi ukuran kepada BN menentukan calon yang akan dikemukakan.
Ketua Kampung Kuala Trong, Abdullah Sani Abu Hassan, 51, berkata, pengalaman 'berwakilrakyatkan' orang luar sebelum ini menyebabkan mereka serik.
''Sudah sampai masanya kita mahu orang tempatan. Tetapi kalau calon luar juga yang diletakkan, awal-awal lagi BN boleh kalah," katanya.
Pemilik restoran, Abu Bakar Md. Isa pula berkata, ini adalah masanya untuk BN membuktikan bahawa parti itu lebih 'mesra rakyat' berbanding pembangkang.
''Saya mahu orang tempatan sebagai calon supaya lebih mudah berunding, apa-apa masalah yang timbul dapat diselesaikan segera kerana dia faham apa yang berlaku," katanya.
Seorang lagi penduduk, R. Rajendran, 68, berpendapat, dia dan rakan-rakannya akan menerima sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan asalkan orang itu anak tempatan.
''Masyarakat India kawasan ini akan sokong BN tetapi parti perlu pilih orang yang betul," katanya yang merupakan ahli MIC sejak 1963.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada Pas akibat serangan jantung baru-baru ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Mac ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian jatuh pada 7 April ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan