Rabu, 30 Disember 2020

Polis Kelantan guna dron pantau PKPD Madrasah Daril Naim, Kluster Halban

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata penggunaan dron itu dibuat berikutan faktor geografi kawasan itu yang mempunyai sawah di belakang kawasan berkenaan.

"Penggunaan dron adalah untuk membantu pemantauan dari udara berikutan kedudukan rumah penduduk agak rapat dan penghuninya ramai dalam kalangan warga emas serta kanak-kanak.

"Kawalan terhadap kawasan ini agak mudah kerana dikelilingi pagar dan bendang padi di bahagian belakang pula tidak boleh dilalui orang ramai," katanya kepada pemberita ketika meninjau madrasah itu hari ini.

Madrasah yang menempatkan 161 penghuni itu dikenakan PKPD mulai semalam sehingga 11 Januari ini bagi mengekang penularan Kluster Halban yang dikesan di kawasan terbabit.

Shafien berkata, seramai 15 lagi penghuni madrasah itu dibawa ke hospital hari ini dan jumlah keseluruhannya sudah lebih 60 orang sedang mendapatkan rawatan di beberapa hospital.

"Untuk kawalan di kawasan ini, dua laluan dibuat, manakala bagi pergerakan penduduk kampung pula, mereka mempunyai jalan lain dan setakat ini, kami mendapat kerjasama sangat baik daripada semua pihak," katanya.

Mengenai Kluster Pintu Geng yang dikesan dua hari lalu, Shafien berkata, pihaknya membuat pemantauan terhadap kawasan itu membabitkan semua aspek.

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa majoriti penduduk kawasan itu mengambil langkah keselamatan sendiri iaitu tidak keluar daripada kediaman masing-masing sebagai pencegahan penularan.

"Ia satu langkah yang baik dan wajar dipuji kerana dapat membendung penularan wabak dan kita sangat alu-alukan," katanya.

Mengulas perkembangan 15 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu yang dikenal pasti kontak rapat seorang tahanan positif COVID-19, Shafien berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian calitan kali kedua.

Katanya, ketika ini semua anggota itu menjalani kuarantin di rumah masing-masing itu adalah kontak rapat kepada tahanan kes komersil dari zon merah iaitu Selayang, Selangor.

"Jika keputusan (ujian calitan) negatif, negatif lah. Jika sebaliknya, kita hadapinya," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: