Rabu, 27 Mei 2020

Penginapan sesak antara punca utama penularan COVID-19 kluster tapak pembinaan

Penginapan sesak antara punca utama penularan COVID-19 kluster tapak pembinaan
Usaha pencegahan COVID-19 di tempat kerja akan menjadi sia-sia jika tiada langkah sama diamalkan di tempat penginapan pekerja asing. Gambar fail

PUTRAJAYA : Penginapan sempit dan amalan kebersihan diri yang kurang memuaskan menjadi antara punca utama penularan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja asing membabitkan kluster tapak pembinaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penginapan yang sesak mengakibatkan penghuni tidak dapat mengamalkan penjarakan sosial.

"Selain itu, tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan (juga menjadi faktor). Majikan bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan.

"Majikan juga harus memastikan amalan-amalan ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja, malah adalah penting langkah pencegahan turut diamalkan di tempat penginapan.
"Tindakan ini dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dari penginapan ke
tempat kerja dan sebaliknya," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Dr. Noor Hisham berkata, antara langkah yang perlu diambil majikan ialah menyediakan tempat mencuci tangan atau pensanitasi tangan, memastikan pekerja mematuhi jarak sosial selamat di ruang kerja dan makan, elakkan berkumpul di ruang sempit dan melaksanakan proses nyah kuman dengan kerap terutama di ruang yang sering dikongsi.

Tiada ulasan: