Sabtu, 27 April 2019

Saya tahu apa rakyat Sandakan mahu, kata calon PBS

Linda Tsen (4 dari kiri) ketika berarak ke pusat penamaan 
calon, pagi tadi.
SANDAKAN: Calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Linda Tsen mengucapkan terima kasih kepada parti kerana memberi kepercayaan kepadanya tetapi berkata beliau mungkin tidak cukup masa untuk berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Bercakap kepada media selepas proses penamaan calon pagi ini, Tsen berkata sebagai naib presiden parti tempatan, beliau mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Setakat ini, sokongan rakyat kuat untuk PBS dan saya bersyukur parti memberi saya peluang ini untuk bertanding di Sandakan.

“Saya dilahirkan di sini, jadi ini rumah saya.

“Saya menghabiskan 8 tahun mewakili kawasan Batu Sapi, yang bermakna saya mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk melakukan tugas ini jika diberi peluang.”

Beliau berharap pengundi di Sandakan akan kembali kepada PBS kerana ia merupakan parti berbilang kaum yang benar-benar mencerminkan komposisi pengundi Sandakan.

Beliau akan melancarkan manifestonya untuk Sandakan petang ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pelbagai parti pembangkang yang menyokongnya.

Tsen ditemani lebih 300 penyokong ke pusat penamaan calon pagi ini. Mereka terdiri bukan sahaja ahli PBS tetapi juga penyokong Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan parti komponen BN, Umno dan MCA.
Sulaiman Abdul Samat.
Sementara itu, calon bebas Sulaiman Abdul Samat berkata beliau bertanding kerusi itu kerana beliau memahami keperluan dan masalah rakyat di sini lebih baik daripada mana-mana calon lain.

“Saya bekerja di pusat khidmat masyarakat Sandakan selama 6 bulan bersama bekas ahli Parlimen Sandakan, mendiang Stephen Wong, dan saya tahu apa yang rakyat inginkan.

“Saya mesti tegaskan di sini bahawa saya tidak mempunyai masalah dengan keluarga Wong. Saya benar-benar menghormatinya tetapi ini adalah sesuatu yang perlu saya lakukan kerana saya rasa saya mampu,” katanya.

Sulaiman, yang keluar dari DAP untuk bertanding dalam PRK itu, berkata salah satu isu yang paling mendesak di Sandakan adalah kekurangan perumahan bagi rakyat.

Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, katanya, kerajaan terdahulu merobohkan ribuan rumah menjadikan 8,000 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Beliau berkata kerajaan berjaya menyediakan perumahan hanya untuk 1,600 daripada isi rumah itu.

“Ini bermakna 6,400 keluarga masih tiada tempat tinggal. Saya meminta kerajaan untuk melihat masalah ini dan ini adalah sesuatu yang saya akan terus perjuangkan,” katanya.

Tiada ulasan: