Jumaat, 26 April 2019

Roti jatuhkan seorang presiden

ISMA WEB

Majlis pemerintah tentera pecat duta dan konsul di enam negara


KHARTOUM – Kereta api yang meluncur membawa kemenangan rakyat menuju ibu negara Sudan ini, semalam, hampir tidak kelihatan kerana terlalu ramai yang duduk, berdiri dan bergayut sama ada di dalam atau di atas bumbungnya.

Sambil mengibarkan bendera Sudan, kehadiran kumpulan pencetus tunjuk perasaan kerana marahkan harga roti melambung tinggi, diberi sambutan bagai wira ketika mereka menghampiri bandar ini.

Konvoi penunjuk perasaan dari Atbara – bandar di mana bermulanya gerakan sehingga Presiden Sudan, Omar al-Bashir yang berkuasa selama 30 tahun digulingkan – tiba di ibu negara, untuk bergabung dengan kumpulan penunjuk perasaan lain menuntut pembaharuan dalam sistem pemerintahan negara.

Digelar ‘bandar besi dan api’, di pusat rangkaian kereta api Sudan dan kediaman aktivis pekerja, telah wujud legasi warisan dalam menentang pemerintah sebelum dan selepas kemerdekaan Sudan pada 1956.

Tetapi, apabila pelajar membakar pejabat parti Omar – Parti Kongres Kebangsaan kerana marah susulan kenaikan harga roti yang membebankan rakyat.

Gambar serta klip video pembakaran dan tunjuk perasaan di Atbara itu tersebar di seluruh negara, membangkitkan semangat penentangan rakyat.

Empat bulan kemudian, mereka berhimpun secara besar-besaran di luar ibu pejabat tentera yang turut menempatkan kediaman Omar hingga akhirnya presiden digulingkan oleh tentera.

Namun, kini mereka tidak berganjak, sebaliknya dari sehari ke sehari, tunjuk perasaan semakin meluas menggesa Majlis Pemerintahan Tentera (TMC) segera menyerahkan kuasa kepada rakyat.

Kereta api yang tiba dari Atbara semalam, bukan sahaja membawa kumpulan penunjuk perasaan di kawasan itu sahaja, sebaliknya ramai yang menunggu di pekan kecil seperti Damar dan Shandi, untuk sama-sama datang ke ibu negara menyertai demonstrasi itu.

“Kami tahu majlis tentera enggan menyerahkan kuasa kepada orang awam. Ini bermakna mereka berkonspirasi untuk menghalang revolusi. Sebab itu kami mula berkumpul di Khartoum,” kata seorang aktivis Atbara, Tarig Abdul Hamid.

Video Player
 
00:00
00:45

Sementara itu, tiga anggota majlis pemerintah tentera meletak jawatan, ketika tunjuk perasaan besar-besaran bakal diadakan hari ini.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas majlis tentera dan ketua penunjuk perasaan mengadakan mesyuarat.

Sepuluh anggota majlis tentera sebelum itu berkata, mereka mencapai persetujuan terhadap semua perkara yang dituntut kumpulan perubahan dan kebebasan, tanpa memberi penjelasan lanjut.

Kedua-dua pihak juga dilaporkan bersetuju membentuk jawatankuasa bersama bagi melakukan perubahan politik di negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, TMC memecat enam duta dan konsulnya sebagai sebahagian daripada semakan semula wakil diplomatik mereka di luar negara.

Duta terbabit ialah di Zimbabwe, Ethiopia, Thailand, Rwanda, manakala konsul yang dipecat ialah di Miami, Florida di Amerika Syarikat (AS), dan di Aswan, Mesir. – Agensi


Tiada ulasan: