Ahad, 28 April 2019

Najib: Penyatuan PAS-Umno hasil usaha senyap saya dan Hadi


MALAYSIAKINI

    Bekas presiden Umno Najib Razak semalam memberitahu ahli PAS bahawa 'penyatuan' dua parti yang sebelum ini merupakan seteru adalah hasil dari "usaha senyap-senyap" olehnya dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Jelas Najib usaha itu bermula ketika perbincangan isu Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan perkara-perkara lain ketika beliau masih menjadi presiden Umno dan juga perdana menteri.

"Ada dua hikmah kekalahan kita (dalam pilihan raya umum ke-14).

"Satu, mereka (rakyat) boleh banding zaman BN dengan zaman PH hari ini?

"Yang kedua, lahirnya penyatuan ummah gabungan antara PAS dan Umno," katanya yang disambut tepukan dan sorakan gemuruh hadirin.

"Sebab saya telah usahakan senyap-senyap perkara ini selama ini dengan Tok Guru Hadi (Abdul Hadi) waktu malam dia datang bincang RUU355 dan perkara-perakra bersangkut paut kepentingan umat Islam.

"Hari ini saya rasa begitu bersyukur apa saya telah mulakan, berputik zaman saya, hari ini telah menjadi realiti," tambah ahli parlimen Pekan itu.
Najib berkata demikian di Ceramah Perdana Perpaduan Ummah yang merupakan acara pertama pemimpin Umno berkongsi pentas dengan PAS dengan tema 'perpaduan ummah'.

Acara itu turut menyaksikan beberapa pemimpin PAS dan Umno lain berkongsi pentas, termasuk Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mahdzir Khalid, selain pemimpin tempatan kedua-dua parti.

 

Mengulas lanjut, Najib berkata PAS dan Umno boleh menang dalam pilihan raya umum seterusnya sekiranya kerjasama PAS dan Umno diteruskan.

"Kalau ini kita pertahankan sebagai formula terbaik, insya-Allah PRU ke-15 milik Umno dan PAS.

"Tak boleh lari tuan-tuan, kita dah buat perkiraan, tak boleh lari. Sebab itu dia (PH) kata kita macam-macam. Pedulikan depa," katanya.

Tiada ulasan: