Isnin, 29 April 2019

Asri dakwa Islam dalam keadaan ‘tidak begitu selamat’ bawah PH

Mohd Asri Zainul Abidin.
 
PETALING JAYA: Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa suara “mempertahankan Islam” sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini, menjadikan rakyat makin akur Islam “berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat” bawahnya.

Asri yang juga mufti Perlis berkata demikian ketika mengulas seorang “Firdaus” di Facebook hari ini.

Beliau berkata pelbagai kenyataan dibuat oleh individu-individu dalam kerajaan yang dianggap menghina orang Islam dan menimbulkan ketegangan kaum “hanya dipanggil untuk beri keterangan”, tetapi seorang individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam ditangkap.

“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri?” katanya.

Beliau merujuk kepada penahanan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu semalam yang didakwa menghina agama Hindu, dalam satu ucapan di Masjid As Siddiqin di Kampung Panchor, Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Zamri disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.

“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba?” kata Asri.

Beliau merujuk kepada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada November tahun lepas, yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar, kompleks One City dirosakkan dan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan meninggal dunia.

Asri menegaskan Zamri dalam ucapannya hanya berkongsi sedikit pengalaman peribadi sebelum menganut Islam, dan penceramah itu juga membuat banyak program membina hubungan antara agama bawah One Centre Malaysia.

“Saya tidak menyalahkan polis, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli,” katanya.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil. Apakah ini suatu keadilan?

“Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini.”

Tiada ulasan: