Isnin, 29 April 2019

Ada yang lebih berfaedah dari bawa BTS ke Bukit Jalil


   
ULASAN | Apabila mendengar pengumuman Menteri Belia dan Sukan bahawa Bangtan Sonyeondan - atau lebih dikenali sebagai Bangtan Boys - mahu dibawa ke Malaysia untuk meraih pendapatan negara, saya terdiam beberapa ketika.

Saya cuba dengan perlahan menyambung titik-titik lojik idea itu, tetapi tidak lekas bertemu.

Ia melalui jalan jauh yang mengundang titik-titik berisiko tinggi kepada dunia remaja sebahagian daripada warga Malaysia.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, beliau sudah serik menyaksikan bagaimana negara jiran seperti Singapura jauh meninggalkan Malaysia sebagai lokasi penganjuran acara peringkat antarabangsa, sekaligus meningkatkan industri pelancongan.

Maka solusi beliau ialah membawa masuk Bulletproof Boy Scouts. Ringkas. Dia yakin itu bakal menjayakan impiannya.

Persoalan pertama saya kepada Syed Saddiq, apakah ia solusi jangka panjang dan ada nilai kelestarian untuk mengembalikan Malaysia dalam senarai utama lokasi penganjuran acara antarabangsa?

Bagaimana agaknya proses itu berlaku?

Apabila budak-budak muda Korea menjerit terlompat-lompat dengan bahasa asing di bumi bertuah ini sambil disambut girang alpa - kalau pun tidak khayal oleh anak-anak Malaysia yang majoritinya Melayu barangkali - maka Malaysia bakal diminati penganjur acara dunia?

Mudah sangat tu!

Apa perasaan pemuzik tempatan

Apakah ia strategi untuk menyedarkan dunia bahawa Malaysia ada fasiliti canggih di stadium atau dewan-dewan persidangan?

Ataukah ia cara untuk menzahirkan betapa sportingnya remaja Malaysia yang akan turun beramai-beramai meraikan tetamu luar, maka Malaysia pilihan terbaik apa-apa persidangan tersohor dunia?

Apa yang pasti berlaku hanyalah kejayaan meraih hasil jualan tiket dan keuntungan diraih peniaga tempatan melalui transaksi jual beli barangan pelawat tempatan dan pelancong asing.

Ia kejayaan singkat dan sementara. Ia ibarat jualan pisang goreng bermusim yang tidak banyak memberi impak kepada kelestarian ekonomi negara dan masyarakat.
Kejayaan begitukah yang dimahukan oleh sebuah kementerian yang diamanahkan untuk menguruskan sukan dan acaranya serta membangunkan potensi modal insan yang belia agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat dalam pelbagai bidang?

Benda boleh dapat untung segera, kenapa perlu buat kajian dan penat berfikir untuk ekonomi negara - adakah begitu yang bermain dalam lubuk hati Syed?

Kalau begitu, cukuplah Syed memegang jawatan di mana-mana syarikat pengurusan acara antarabangsa. Setiap kali selesai acara, kira hasil kutipan tiket sampai ke subuh.

Saya fikir Syed perlu duduk lepak santai bersama rakan-rakan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta pihak pengurusan stadium dan mana-mana fasiliti canggih dalam negara bagi mencapai hasrat beliau.

Rakyat Malaysia tidak menolak objektif beliau untuk mengembalikan Malaysia sebagai lokasi pilihan di Asia Tenggara. Tetapi, untuk membawa budak-budak Korea ke sini dah macam tiada idea bernas langsung daripada pendebat hebat ini.
Belum lagi kita bicara soal kesan fenomena muzik K-pop ini terhadap remaja Malaysia, termasuk Melayu Muslim. Belum lagi menyentuh soal perasaan ahli muzik tempatan yang rasa terhina dengan idea mentah Syed.

Juga tidak lagi masanya untuk dipaparkan data-data tentang kesan negatif kepada remaja Singapura - khususnya Melayu Muslim mereka - daripada acara-acara konsert sedemikian.

Cabaran mentah saya buat Syed yang hebat lagi bijak ialah, buktikan kemampuan saudara untuk membawa barisan utama pemain Liverpool dan Manchester City bermain di Stadium Bukit Jalil sebaik tamat Liga Perdana Inggeris nanti.

Jika Liverpool kekal gagal meraih kejuaraan, maka pertemuan Bukit Jalil Clash (BJC) nanti adalah ruang untuk Salah dan kawan-kawannya menebus kekecewaan.

Saya percaya, penyokong kedua-dua kelab itu akan datang beramai-ramai melimpah di Stadium Bukit Jalil. Mereka adalah termasuk penyokong dari Korea, Singapura dan Puchong.

Kemudian anjurkan pelbagai acara sampingan melibatkan belia Malaysia dan antarabangsa. Bukankah itu lebih bermaruah dan bernilai ilmu dan budi?


OMAR MOHAMED ialah remaja - pada beberapa tahun lalu - yang setia dengan Liverpool walaupun kelabnya melalui jalan sukar, ketinggalan satu mata untuk menjadi juara dalam kancah EPL dan bakal berhadapan Barcelona dalam UCL. 


Tiada ulasan: