Sabtu, 27 April 2019

Ada pihak manipulasi akaun bank Najib

Kasthuri Jeevendran
 
 SRC-Shafee-681x511




KUALA LUMPUR – Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan wujudnya pihak yang tidak mempunyai kebenaran telah memanipulasi akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa, pihaknya mempunyai ‘bukti secukupnya’ dalam menyokong dakwaan itu termasuk isu berkaitan pemalsuan tandatangan Najib dalam melakukan transaksi wang bagi akaun beliau.

Beliau juga tidak menolak ianya dilakukan oleh orang luar termasuk Jho Low dan juga ‘orang dalam bank’ sendiri.

“Soal balas kita dengan saksi hari ini sebenarnya akan menyokong kes pembelaan kita nanti bahawa akuan Najib sebenarnya telah di manipulasi oleh pihak yang tidak diberikan oleh Najib.

“Orang luar seperti Jho Low, juga lain-lain seperti orang dalam bank. Kerana itu saya berani katakan ada pegawai bank ‘penyangak’ dalam isu ini.

“Orang dalam dan luar. Datuk Seri Najib tidak tahu tentang transaksi-transaksi ini. Jika tidak bagaimana anda mahu jelaskan bagaimana tandatangan boleh dipalsukan? Pengurus bank hari ini sendiri bersetuju.

“Kita akan dedahkan lebih banyak bukti, ini adalah satu perbicaraan yang sangat menarik kerana ramai yang ‘tertangkap’. Kita mempunyai satu rantaian ‘email’ perbualan antara Pengurus Perhubungan Awam Ambank, Joanna Yu Ging Ping dengan Jho Low.

“Itu belum keluar lagi, minggu depan kamu semua akan tahu. Kita akan dedahkan perkara ini kelak,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah hari ini.

Terdahulu, ketika sesi soal balas, Uma Devi mendedahkan beberapa tandatangan yang digunakan untuk menandatangani cek bernilai jutaan ringgit tidak sama dengan asal.

Muhammad Shafee juga tidak menolak dakwaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd,  Nik Faisal Ariff Kamil mungkin terlibat dalam ‘mengelirukan’ anak guamnya itu.

Uma Devi dalam keterangannya juga ada menyatakan terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil bertarikh 23 Jun 2014 bertajuk transfer instruction dan mengesahkan bahawa itu adalah surat arahan kepada AmBank untuk memindahkan RM3 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-201188-0 milik Najib.

Nik Faisal Ariff Kamil juga telah mengeluarkan surat arahan kepada Ambank bertarikh 8 Julai 2014 untuk memindahkan RM20 juta daripada akaun AmBank 211-202-201188-0  milik Najib.

Surat arahan itu turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM10 juta daripada RM20 juta itu ke akaun Ambank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY).

Sekali lagi terdapat surat arahan oleh Nik Faisal bertarikh 21 Ogos 2014 untuk memindahkan RM10 juta daripada Akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee sekali lagi menyatakan Najib adalah mangsa keadaan malah memberi gambaran seperti sebuah filem, akhirnya yang disangka jahat itu sebenarnya tidak bersalah.

“Kes ini sangat menarik, ramai yang akan terdedah dengan pendedahan-pendedahan yang mengejutkan, seperti dalam filem, seseorang yang kita sangka pada awalnya jahat rupanya adalah mangsa perbuatan orang lain. Kita tunggu dan lihat,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: