Rabu, 28 Februari 2018

Rafizi: Jika Exchange 106 milik swasta, bagaimana sewa bayar hutang 1MDB

 
Naib presiden PKR mendakwa kerajaan telah membeli kembali pegangan dalam projek di TRX itu setelah menjualnya kepada syarikat Indonesia. 


rafizi-ramli-fmt-3


PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini meminta Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah menjelaskan bagaimana sewa daripada The Exchange 106 di Tun Razak Exchange akan diperoleh untuk membayar hutang 1MDB jika ia adalah milik swasta.

Rafizi mengajukan soalan itu selepas pengerusi 1MDB itu dilapor Malaysiakini sebagai berkata hutang dana milik kerajaan itu akan dibayar daripada hasil pendapatan projek seperti TRX.

“Beliau menyebut bahawa ‘…penghuni yang memiliki tempat di bandar TRX akan membayar sewa dan kita juga akan menjual plot tanah’,” katanya.

“Sebab sebenar Irwan menyebut mengenai sewa dari penghuni di TRX, walaupun umum mengetahui projek itu projek swasta yang tanahnya telah dijual kepada syarikat swasta dari Indonesia, ialah kerana kerajaan Malaysia telah membeli kembali pegangan di dalam projek ini setelah menjualnya kepada syarikat Indonesia.”

Rafizi mendakwa “secara diam-diam”projek itu dimiliki kerajaan melalui sebuah syarikat yang memegang 51% dalam syarikat pemaju.

Beliau mendakwa kerajaan menggunakan beberapa pelabur untuk mengabui hakikat, “iaitu hutang-hutang 1MDB secara perlahan-lahan dan senyap-senyap diambil alih oleh kerajaan”.

Rafizi menambah “segala bukti setakat ini” membayangkan kerajaan menjual tanah milik kerajaan kepada syarikat Indonesia, “kemudian dibeli kembali menggunakan duit rakyat pada harga yang berganda lebih tinggi”.

Naib presiden PKR itu menggesa Irwan menjawab adakah Kementerian Kewangan membeli 51% pegangan dalam pemaju The Exchange 106 secara senyap-senyap dan bila Kementerian Kewangan membeli 51% pegangan itu.

Beliau juga bertanyakan apakah niat kerajaan mengumumkan kejayaan menarik pelabur asing melabur untuk membina The Exchange 106, “kemudian secara senyap-senyap membeli kembali projek itu?”.

Semalam, Irwan dilaporkan berkata 1MDB akan ditutup selepas semua hutangnya dibayar. Pengerusi 1MDB itu yakin dana milik kerajaan itu mampu melangsaikan semua hutang melalui pelan rasionalisasinya.

Pada 31 Disember lepas, 1MDB dilaporkan selesai membuat semua pembayaran kepada dana kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC) dalam satu urusjanji menyelesaikan pertikaian hutang RM4.9 bilion.

Media melaporkan wang untuk pembayaran itu hasil daripada program rasionalisasi melibatkan antara lain pertukaran hutang dengan aset dengan IPIC, penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp untuk RM9.83 bilion, pembangunan tanah Tun Razak Exchange dan pelupusan aset bukan teras.

Pada Mac 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata 1MDB, yang menanggung hutang sehingga RM50 bilion setakat Januari 2016, sudah melangsaikan semua hutang bank dan hutang jangka masa pendek.

Pada Julai 2017, Najib berkata isu 1MDB ini sengaja diperbesar-besarkan pembangkang kerana mahu menumbangkan kerajaan.

Tiada ulasan: