Sabtu, 24 Februari 2018

Pakar undang-undang bimbang kesan keputusan kes Fahmi

DETIK DAILY
 
 
Oleh Kamles Kumar

TAK masuk akal, tidak demokratik dan langsung tidak boleh diterima.

Itu dipersetujui dalam kalangan pakar udang-undang mengenai hukuman penjara satu bulan dan denda RM30,000 yang dikenakan terhadap pereka grafik, Mohd Fahmi Reza. Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman itu terhadap Fahmi kerana menyiarkan imej Perdana Menteri Najib Razak yang diedit di Facebook.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kebimbangan, di mana seorang pensyarah undang-undang mempersoalkan apakah Malaysia cuba meniru negara jiran, Thailand, yang mengenakan hukuman terhadap sesiapa yang mengkritik keluarga dirajanya.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom berkata jika undang-undang dijalankan secara berpilih, bagi melindungi seorang individu atau kumpulan khas dari menerima kritikan yang sah, maka, sudah tentu, ia menyamai "lese-majeste" (menderhaka kepada raja).

Thailand mengamalkan undang-undang lese-majeste yang melarang sebarang kritikan dan penghinaan terhadap keluarga diraja.

Azmi berkata keputusan mahkamah terhadap Fahmi itu turut meletakkan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan menjadikan perbuatan melawak dengan ahli politik satu kesalahan.

"Dalam konteks sebuah demokrasi, seorang pemimpin mestilah bersikap terbuka kepada sebarang kritikan. Satira adalah salah satu bentuk kritikan dan perlu dilihatdari sudut itu.

"Gambar-gambar badut itu, walaupun kasar, ia adalah satu cara untuk mengkritik penjawat awam dengan cara yang lucu.

"Kalau pemimpin kita tidak boleh bergurau, maka satu cara untuk mengkritik mereka akan disekat. Ini tidak boleh diterima dalam demokrasi," Azmi

Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Syahredzan Johan yang membela Fahmi Reza berkata pihaknya akan memfailkan rayuan.
Pakar undang-undang perlembagaan, Aziz Bari berkata Malaysia menunjukkan tanda-tanda “totalitarianisme”, apabila undang-undang digunakan untuk menghukum pengkritik sesetengah ahli politik.

"Ini satu perkembangan yang mengganggu dan langkah regresif untuk menjatuhkan hukuman ke atas ekpresi terhadap seorang ahli politik.

"Ini tidak demokratik dan tidak boleh diterima. Ini satu tanda kegagalan dan totalitarianisme," beliau
Aziz menegaskan yang undang-undang telah diguna secara berpilih terhadap mereka yang mengkritik ahli politik Barisan Nasional (BN), tetapi tidak sebaliknya.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata Akta Komunikasi dan Multimedia sedang dikenakan kepada mereka yang mengkritik kerajaan.

"Ini hukuman yang tak masuk akal dan sangat keras, semuanya kerana karikatur satira PM yang dipos di Facebook.

"Jelas sekali Akta Komunikasi dan Multimedia sedang disalahgunakan untuk mensasarkan penentangg seperti Fahmi," katanya.- The Malaysian Insight. 

Tiada ulasan: