Jumaat, 23 Februari 2018

MIC enggan tolak ansur, mahu bertanding di Cameron Highlands

 
Dr S Subramaniam berkata, MIC tidak akan mengadakan rundingan dengan parti komponen BN yang lain.
 
 
Dr-S-Subramaniam

SERDANG: MIC bertegas mahu bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands dan tidak akan mengadakan rundingan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, kata Datuk Seri Dr S Subramaniam.

“MIC sudah beritahu itu (Cameron Highlands) adalah kerusi kita, tidak perlu bincang,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Antara Universiti 2018 di Universiti Putra Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada perbincangan mengenai kerusi Parlimen itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Isu perebutan kerusi Cameron Highlands bermula apabila Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas bertegas mahu bertanding di kerusi itu.

Oktober lalu, Kayveas menyuarakan hasrat menemui Subramaniam untuk menyelesaikan isu perebutan kerusi itu, tetapi sehingga kini, tiada sebarang pertemuan dilaporkan.

Kerusi Cameron Highlands kini disandang MIC menerusi bekas presidennya, Datuk Seri G Palanivel yang menang tipis dengan majoriti 462 undi pada pilihan raya umum ke-13, selepas mengalahkan pencabar terdekat daripada DAP, M Manogaran.

Palanivel bagaimanapun dipecat MIC pada 2015 dan kini menjadi calon bebas di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Ogos lalu, Subramaniam mengakui MIC belum memilih calon sesuai untuk bertanding di Cameron Highlands, tetapi mereka sudah melantik penyelaras bagi menjalankan gerak kerja di sana.

MIC bertanding di Cameron Highlands sejak kerusi Parlimen itu diwujudkan pada PRU11.

Kayveas bagaimanapun mendakwa kerusi Cameron Highlands ditawarkan kepada MyPPP sejak 2000, tetapi mereka menyerahkan kerusi itu kepada MIC pada saat akhir.

Kayveas dilaporkan berkata, kerusi Parlimen Cameron Highlands bukan milik mana-mana parti selepas pemecatan Palanivel daripada MIC.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bukan sebahagian Pakatan Harapan juga berhasrat menurunkan calon di Cameron Highlands.

Selasa lalu, Manogaran dilaporkan merayu PSM tidak mengacau peluang pembangkang merampas kerusi Parlimen itu daripada BN.

Tiada ulasan: