Isnin, 26 Februari 2018

Guan Eng: Wang apa dari Robert Kuok?



lim-guan-eng_Robert-Kuok_600


GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menafikan partinya pernah menerima derma atau sumbangan daripada taikun Robert Kuok seperti yang dicadangkan beberapa laporan media arus perdana.

Beliau berkata walaupun Kuok mempunyai hak demokrasi untuk menyokong dan menyumbang kepada mana-mana parti politik seperti rakyat lain, DAP tidak menerima sebarang dana daripada beliau.

“Sebagai setiausaha agung, pemimpin nombor 1 dalam parti, saya tidak tahu dia pernah memberi sumbangan kepada DAP. Kalau ada, saya sudah berterima kasih.

“Saya tidak boleh berterima kasih kerana dia tidak beri kita wang. Tetapi mereka guna perkara ini untuk buli Robert Kuok.

“Kami mahu perdana menteri, Umno dan setiausaha agungnya tunjukkan bukti Kuok ada beri wang kepada DAP,” kata Lim kepada pemberita di Komtar hari ini.

Penulis blog Raja Petra Kamarudin baru-baru ini mendakwa Kuok menyalurkan dana kepada DAP melalui anak saudaranya, James. James menafikan dakwaan itu.

Raja Petra juga mendakwa Kuok mempunyai agenda untuk menggantikan kepimpinan Malaysia dengan DAP supaya orang Cina boleh berkuasa.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kemudian dilapor berkata Kuok harus ingat Malaysia negara majoriti Melayu.

Lim berkata “kempen memburuk-burukkan” Kuok sungguh-sungguh tidak wajar kerana ahli perniagaan itu harus dihormati kerana kejayaannya.

Beliau menggesa semua pihak termasuk pemimpin BN membaca memoir Kuok.

“Sepatutnya dia dirai tetapi diserang tanpa asas.

“Kamu mahu buli DAP dan Lim Guan Eng itu perkara biasa, tetapi untuk melakukannya terhadap Kuok, seorang lelaki berusia 94 tahun, itu melampau.

“Saya mahu beritahu Umno dan BN jangan bermain api. Kamu cuba mencipta kebencian kaum dan golongan pelampau,” katanya.

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang juga menafikan pernah menerima dana daripada Kuok seperti yang didakwa Raja Petra.

Tiga bulan lalu, Kuok menerbitkan buku bertajuk “Robert Kuok, A Memoir”.

Ada pihak memuji Kuok, lelaki Malaysia terkaya dan salah seorang taikun utama di Asia, atas pandangan yang disuarakan dalam buku setebal 376 halaman itu, namun ada juga yang mempertikaikan kesetiaannya kepada Malaysia.

Antara lain, Kuok, yang dikenali sebagai “Raja Gula”, menulis beliau memindahkan ibu pejabat perniagaannya ke Hong Kong dari Kuala Lupur pada 1975 kerana cukai yang lebih rendah di Hong Kong dan memandang hina Dasar Ekonomi Baru, yang dilaksanakan selepas rusuhan 13 Mei 1969.

Tiada ulasan: