Selasa, 27 Februari 2018

Ahli PAS diseru menjadi 'singa dan abid'

DR ZURAINI HASHIM

 
 
SETIAWANGSA: Jentera PAS diseru memiliki rutin umpama "Singa di siang hari dan Abid di malam hari" agar mampu teguh menghadapi PRU14 yang pastinya menjadi pilihan raya paling sengit.
 
Nasihat itu dititipkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiawangsa Kali Ke-15 di Dewan KAFA Al-Ansar, di sini semalam.
 
Menurutnya, cabaran PRU14 juga melibatkan pertembungan akidah yang bukan sahaja menuntut persiapan ruhiyah, tetapi dikukuhkan juga dengan disiplin dan adab dalam berhadapan musuh.
 
Malah, beliau menyeru ahli PAS supaya memiliki keyakinan utuh kepada Allah S.W.T di mana biarpun PAS akan diperangi tiga penjuru atau lebih, namun kelebihan pasti dianugerahkan Allah kepada perjuangan Islam yang memenuhi syarat.
 
Menurutnya, PAS adalah parti yang mempunyai pemimpin dan anggota tersusun serta ikhlas seumpama yang disifatkan Rasulullah terhadap pasukan tentera Islam pembuka Kota Konstatinople.
 
"Kota Konstatinople akan dibebaskan, di mana rajanya sebaik-baik raja dan tenteranya sebaik-baik tentera," ujarnya mengungkap hadis itu membangkitkan semangat para perwakilan dan pemerhati.
 
Jelasnya lagi, PAS yang istiqamah dengan perjuangan Islam kesinambungan para Anbiya, sama sekali tidak terpalit dengan salah laku rasuah dan penyelewengan berbanding lawan sama ada BN mahupun PH.
 
Oleh itu terangnya, peranan dan kesungguhan setiap ahli PAS untuk menyumbangkan harta dan jiwa raga di posisi masing-masing adalah kebaikan dan kebajikan.
 
Semua itu terangnya, bukan sahaja akan mendatangkan manfaat untuk manusia, tetapi juga akhirnya beroleh ganjaran Syurga dan keredhaan Allah sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran.
 
Kamaruzaman turut menyentuh usaha pihak musuh mengemukakan RUU164 sebagai usaha melemahkan Islam, sedang PAS berusaha memenangkan RUU355 yang menguatkan Mahkamah Syariat.
 
Bahkan usaha PAS tegas beliau, selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan agama lain diamalkan.
 
Kerana itu ujarnya, ahli PAS mesti kehadapan dalam memperjuangkan Islam kerana mereka merupakan benteng terakhir membela Islam dan bukannya Umno.
 
Sedangkan Umno kata beliau, hanya mempergunakan Islam mengikut kehendak mereka, manakala Pakatan Harapan pula jelas memusuhi Islam.
 
Tegasnya juga, PAS adalah parti yang menerima semua tanpa mengkesampingkan atau bias kepada mana-mana perbezaan agama, budaya atau kaum sebagaimana jelas pada asas Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Beliau juga membaca amanat Presiden PAS yang antara lain menekan dasar perjuangan PAS iaitu agar masyarakat mempunyai nilai Islam dan kedaulatan negara berdasar pemerintahan Islam. -HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: