Khamis, 14 Disember 2017

Formula "satu calon, satu kerusi" bukti PAS tidak tandus calon - Zuhdi Marzuki

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Formula meletakkan "satu calon, satu kerusi" adalah kaedah terbaik untuk PAS menampilkan lebih ramai calon muka baru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata bahawa parti itu mahu memberikan peluang kepada pemimpin muda yang dianggap calon boleh menang (winnable candidate) dalam misi memenangi lebih banyak kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau DUN.
 
"Sebab kita mempunyai ramai calon yang berkelayakan sebenarnya, jadi kita tidak ketandusan calon.
 
"Kita memberi ruang kepada sesiapa sahaja pimpinan dan ahli-ahli PAS yang berkelayakan dan boleh menang untuk mereka bertanding kerusi," katanya kepada Antarapos.
 
Menurutnya, keputusan PAS sebelum ini untuk bertanding di lebih banyak kerusi pada PRU kali ini akan memberi ruang dan pengalaman kepada calon muka baru.
 
"Jadi kalau PAS akan bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini berbanding sebelum ini. 
 
"Contohnya dalam PRU13 bagi kerusi Parlimen kita bertanding sekitar 70 kerusi Parlimen, jadi untuk kali ini kita akan bertanding lebih daripada 115 kerusi Parlimen," katanya.
 
Semalam, Antarapos melaporkan sumber PAS mendedahkan parti itu sedang menimbang untuk menggunakan formula "satu calon, satu kerusi" sama ada DUN atau Parlimen pada PRU14 dan memberi laluan kepada lebih ramai muka baru.
 
Kata sumber itu, cadangan tersebut masih di peringkat awal perbincangan, namun dijangka akan ada pengecualian terhadap beberapa calon boleh menang.
 
Mengulas perkara itu, Mohd Zuhdi berkata PAS mempunyai ramai calon boleh menang, mempunyai kredibiliti dan kualiti yang akan diterima baik pengundi.
 
"Mungkin ada kes-kes tertentu yang akan diputuskan di peringkat PAS Pusat dan juga Majlis Syura.
 
"Dalam PRU13 pun kita cuba sebaik mungkin supaya calon bertanding satu kerusi sahaja melainkan mereka yang tertentu seperti presiden PAS.
 
"Jadi yang lain secara dasarnya satu calon satu kerusi sahaja," katanya.
 
 

Tiada ulasan: