Khamis, 3 Ogos 2017

Sistem pajak bebankan pemandu teksi, berat sebelah, kata Nancy

 
RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 yang dijangka diwartakan Oktober ini akan memastikan terma kontrak sewa beli memenuhi piawaian minimum.


Nancy-Shukri-teksi-malaysia

KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri akui sistem pajak teksi yang digunakan pemandu teksi untuk memiliki kenderaan mata pencarian mereka berat sebelah.

Walaupun sistem pajak teksi membolehkan pemandu memperoleh kenderaan sendiri secara beli sewa beli, yang selepas diperoleh akan mengurangkan kos harian pemandu terbabit, terma kontrak yang diamalkan dalam industri teksi tidak menjaga kebajikan pemandu.

“Perjanjian dalam sistem pajak ini sama konsep dengan perjanjian sewa beli kenderaan yang digunakan institusi kewangan. Sebab itu, antara pindaan rang undang-undang yang diluluskan minggu lalu membolehkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memastikan terma kontrak memenuhi piawaian minimum,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.

Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 diluluskan pada 27 Julai lepas, dan dijangka diwartakan Oktober ini.

Pada 24 Jun 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berikrar untuk menghapuskan monopoli permit teksi oleh syarikat swasta, dan kerajaannya akan mengeluarkan permit secara terus kepada individu, kerana “sistem pajak teksi ini satu bentuk perhambaan moden”.

Pada 31 Mac lalu, pengerusi SPAD ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata pemberian permit teksi individu itu sebahagian inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP), yang akan membantu pemandu teksi keluar daripada sistem pajak, yang juga membantu mereka bersaing dengan pemandu syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber.

Nancy berkata permit teksi syarikat juga tidak lagi dikeluarkan sekarang ini.

Beliau menjawab pertanyaan bertulis Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapakah wujud keperluan untuk memberikan permit teksi kepada syarikat dan bukannya secara terus kepada individu.

SPAD meluluskan 1,722 permit individu daripada 3,474 permohonan sejak September 2016 hingga Julai lalu.

Tiada ulasan: