Selasa, 8 Ogos 2017

Prosiding RCI forex 10 hari, bantahan peguam Tun M dan Anwar ditolak

Muhamad Izwan Mohd Zubit

Peguam Tun Dr. Mahathir Mohamad, Hanif Khatri Abdulla (kiri) dan peguam Anwar Ibrahim, R Sivarasa (kanan) berbincang sesuatu ketika keluar selepas mendegar prosiding Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-An di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR
 
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing (RCI) akan tetap berjalan selama 10 hari bermula 21 Ogos ini walaupun menerima bantahan daripada peguam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan membuat keputusan untuk meneruskan prosiding yang bermula 21 Ogos sehingga 21 September depan selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak daripada wakil jawatankuasa yang mengesyorkan, Datuk Suhaimi Ibrahim dan dua wakil peguam, R Sivarasa dan Hanif Khatri Abdulla di Mahkamah Rayuan pagi tadi.

Dalam hujahnya, Hanif membuat bantahan dengan mempertikaikan kelayakan dua panel yang berada dalam RCI memandangkan mereka juga berada dalam jawatankuasa yang membuat syor tertubuhnya RCI tersebut.

“Pandangan saya jawatankuasa yang mengesyorkan tidak sewajarnya menjadi ahli panel (RCI) bagi memutuskan hasil daripada prosiding ini,” kata Hanif.

Hanif juga meminta supaya anak guamnya, Dr Mahathir diberikan penyertaan aktif dalam prosiding RCI seperti boleh membuat permohonan bertulis dan juga afidavit.

Pandangan Hanif tersebut juga dikongsi oleh peguam Anwar, Sivarasa yang juga membuat tuntutan sama.

Namun, Sidek menjelaskan prosiding RCI berbeza dengan perbicaraan mahkamah yang mana ia terdiri daripada pendakwa raya, malahan RCI ditubuhkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakannya.

“Suruhanjaya mengambil maklum suruhanjaya ini ditubuhkan atas restu Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh sedemikian, kami sudah buat keputusan untuk meneruskan (prosiding),” kata Sidek.

Menurut Sidek, laporan penuh inkuiri RCI akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan dan dijangka siap untuk dikeluarkan kepada awam pada 13 Oktober depan.

Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penubuhan suruhanjaya berkenaan di bawah Akta Siasatan 1950 (Akta 119), berkuat kuasa mulai 15 Julai 2017.

RCI dijangka dapat merungkai isu-isu yang membelengu negara sejak 23 tahun lalu di mana ketika itu, negara mengalami kerugian sebanyak AS$10 bilion dalam skandal forex dan kesannya masih dialami sehingga kini.

Bidang kuasa suruhanjaya siasatan itu adalah bagi menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

Selain itu ia juga bagi menentukan penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: