Selasa, 8 Ogos 2017

Pemuda UMNO Kelana Jaya lapor SPRM ke atas Azmin

Manzaidi Mohd Amin
Ketua Pemuda UMNO Kelana Jaya, Maisham Bin Maarof (tengah) menunjukkan laporan SPRM pada sidang media bagi meyelesaikan pertikaian kontrak antara UNISEL dan Jana Niaga Sdn Bhd di Pejabat SPRM, Wisma PKPS, Shah Alam. foto AFFAN FAUZI, 
 

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, minta menyiasat mengenai tatacara penyelesaian pertikaian kontrak antara Universitti Selangor (Unisel) dan Jana Niaga yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) serta syarikat Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd.

Laporan itu dibuat Ketua Pemuda Bahagian berkenaan, Maisham Maarof bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri di pejabat SPRM Shah Alam kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Menurut Maisham, laporan itu dibuat ke atas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana didakwa antara individu yang bertanggungjawab ke atas MBI yang juga Pengerusi syarikat Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd.

Katanya, syarikat itu dikatakan antara syarikat kerajaan yang menguruskan Unisel.

“Melalui beberapa dokumen yang dikeluarkan oleh laman sesawang Selangor-Leaks.com, kami dapati terdapat keraguan yang besar dalam penyelesaian kontrak antara Unisel dan Jana Niaga.

“Jika dokumen itu benar, adalah amat meragukan apabila syarikat yang didakwa oleh Unisel telah gagal dalam melaksanakan kontrak, diberikan pampasan bernilai puluhan juta ringgit dan juga sebuah kontrak baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum masuk ke pejabat SPRM di sini, untuk membuat laporan itu.

Serentak itu, menurut Maisham, Pergerakan Pemuda UMNO Kelana Jaya dan barisan kepimpinan Pemuda UMNO Selangor dengan rasa tanggungjawab menjaga ketelusan institusi pendidikan di Selangor dan kebajikan pelajar Unisel, mengambil inisiatif untuk tampil membuat laporan kepada SPRM.

Beliau juga meminta menteri besar tidak berdiam diri, sebaliknya tampil memberikan penjelasan ke atas isu itu.

“Setakat ini, tidak ada sebarang penafian oleh pihak menteri besar ataupun MBI berkenaan pendedahan di Selangor-Leaks.com. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: