Ahad, 6 Ogos 2017

Pemuda MIC didakwa ugut wartawan



B Nantha Kumar


Wartawan berusia 71 tahun itu, turut dimarahi dengan kata-kata kesat

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MIC bahagian dan Ketua Cawangan MIC antara dua pemimpin MIC dituduh mengugut seorang wartawan akhbar Tamil supaya tidak menerbitkan laporan Pengerusi MIC Perak V Elango didapati bersalah memalsukan alamat kediaman dalam usaha menjadi pengundi DUN Hutan Melintang.

Menurut T Krishnamoorthi, yang bekerja sebagai wartawan di akhbar Tamil Malar mendakwa beliau diugut pagi ini oleh Ketua Pemuda MIC Bahagian Bagan Datoh, N Vijayan dan seorang ketua cawangan MIC yang hanya dikenali sebagai Ramamoorthi di hadapan Pejabat Kerajaan Perseketuan.

“Saya ke sana untuk membuat liputan akhbar berkenaan siasatan awam dikendalikan oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Di mana, Elango didakwa memalsukan alamat kediaman dan cuba mendaftar sebagai pengundi di DUN Hutang Melintang.

“Selepas, SPR membuat keputusan bahawa Elango bersalah, saya cuba mendapat komen daripada beberapa pemimpin pembangkang yang berada di luar pejabat. Tetapi, sekumpulan anggota MIC, diketuai oleh Vijayan mengugut saya supaya jangan menulis laporan,” katanya kepada Berita Daily.

“Ketika, saya cuba mempertahankan tindakan, mereka terus meluru ke depan mengugut bahawa akan mencederakan saya. Malah, saya dimarahi dengan kata-kata kesat,” kata Krishamoorthi yang lebih dikenali sebagai TK Moorthi.

Beliau yang berusia 71 tahun berkata akan membuat satu laporan polis pada pagi esok di Teluk Intan.
“Saya berasall dari Teluk Intan. Jadi saya akan membuat laporan polis di sana,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Moorthi turut mempersoalkan kehadiran Vijayan ke siasatan awam tersebut sedangkan beliau merupakan staff SITF (Special Implementation Taskforce on Indian).

“Saya terkejut melihat Vijayan di sana sedangkan sepatutnya berada di pejabat SITF pada masa itu, bukannya di pejabat yang menjalankan siasatan awam. Gaji beliau lebih RM3,000 dibayar oleh kerajaan bukan untuk berkhidmat kepada Elango tetapi rakyat India di parlimen Bagan Datoh,” tegas beliau sambil menambah akan membawa perkara ini kepada Presiden MIC Dr S Subramaniam yang merupakan Pengerusi SITF.

Terdahulu, pagi tadi, satu siasatan awam oleh SPR berkenaan dakwaan limpahan pengundi baru di DUN Hutan Melintang mendapati Elango didapati bersalah dengan memalsukan alamat kediaman.

Dalam siasatan awam yang julung kali diadakan itu, dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Perak Mohd Nazri Ismail membuat keputusan bahawa Elango tidak layak menjadi pengundi di DUN Hutan Melintang pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

SPR turut mengarahkan Elango bersama isteri dan dua anaknya perlu mengundi di tempat asal (Parlimen Lumut) selepas mendapati alamat diberikan sebagai tempat tinggal di DUN Hutan Melintang tidak sahih dan meragukan.

Usaha Berita Daily menghubungi Elango tidak berjaya. Manakala, Setiausaha MIC Perak K Thankaraj berkata beliau tidak berpengetahuan mengenai insiden ini.

Tiada ulasan: