Selasa, 1 Ogos 2017

Mahfuz gesa kerajaan dedah perbelanjaan Rumah Terbuka PM

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta kerajaan memperincikan nilai sebenar perbelanjaan yang digunakan untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri yang diadakan pada 25 Jun lalu.
 
Wakil rakyat PAS itu berkata, jawapan bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap pertanyaan yang dibangkitkannya itu tidak dijawab dengan jelas, sekaligus mengundang pertanyaan sama ada kerajaan mahu menyembunyikannya daripada pengetahuan rakyat.
 
"Semua orang tahu bahawa ada peruntukan untuk perdana menteri dan menteri kabinet untuk mendapat sejumlah peruntukan untuk keraian kepada tetamu tertentu.
 
"Saya faham itu semua, sebab itu yang saya minta penjelasan ialah berapa Ringgit Malaysia (RM), kenapa kerajaan tak boleh berikan jawapan dalam nilai Ringgit Malaysia. Apa yang perlu disembunyikan daripada pengetahuan rakyat," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
 
Terdahulu, dalam pertanyaan lisannya, Mahfuz meminta kerajaan menyatakan berapakah jumlah Ringgit Malaysia (RM) perbelanjaan rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri bersama anggota kabinet di Putrajaya pada 1 Syawal lalu. 
 
Menerusi jawapan bertulis yang diberikan Azalina, ia menyebut bahawa majlis berkenaan merupakan acara rasmi kerajaan dan mengguna pakai kelayakan keraian meraikan tetamu Perdana Menteri sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
 
Ia turut menyebut, keseluruhan perbelanjaan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 16 Jun 2017 serta dikendalikan secara sederhana mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia - Garis Panduan Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan. 
 
"Walaupun itu diberi melalui akta saraan, tapi saya fikir seharusnya kerajaan boleh mempertimbangkan apakah ia merupakan satu keperluan atau tidak.
 
"Kalau dikata bahawa diluluskan kementerian kewangan, itu saya setuju. Dan yang dikendalikan secara sederhana, itu yang saya nak tahu secara sederhana itu berapa nilai Ringgit Malaysia," kata bekas naib presiden PAS itu lagi.
 
 

Tiada ulasan: