Rabu, 9 Ogos 2017

Cukai pelancongan berkuat kuasa September

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan memutuskan bahawa cukai pelancongan akan berkuat kuasa secara rasmi pada 1 September ini.
 
Cukai itu katanya, terkecuali kepada pelancong warga tempatan dan pemastautin tetap.
 
Jelasnya, cukai dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.
 
Beliau turut menjelaskan cukai itu dikecualikan bagi premis penginapan 'homestay' atau 'kampung stay' yang berdaftar dengan kementerian, dan premis penginapan yang dikendali kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau badan berkanun bagi tujuan pendidikan, latihan atau kebajikan dan bukan bagi tujuan komersial.
 
"Pengecualian itu turut diberi kepada premis penginapan untuk kegiatan keagamaan yang didaftarkan di bawah undang-undang dan bukan untuk tujuan komersial serta premis penginapan yang mempunyai empat atau kurang daripada empat bilik," katanya dalam sidang media di sini.
 
Beliau sebelum itu melepaskan peserta ekspedisi Kelab Motosikal Shadowfax Malaysia yang akan menjelajah hampir 13,000 kilometer merentasi enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, Bhutan, Nepal dan India sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara.
 
Dalam pada itu Mohamed Nazri berkata sejumlah RM210 juta hasil pendapatan daripada pungutan cukai itu dijangka dikutip setiap tahun.
 
Bagi tujuan pelaksanaan cukai itu, pengendali premis penginapan berkenaan perlu berdaftar secara dalam talian di www.myttx.customs.gov.my bermula 4 petang hari ini.
 
 

Tiada ulasan: